Subky Latif |
Bukan mudah untuk mendapatkan seorang Islam dan rakyat Malaysia menyertai parti itu dalam negara yang memberi banyak pilihan kepada setiap rakyat, maka tentulah tidak mudah pula ia memecat ahlinya, apa lagi ahli itu ada sedikit sebanyak jasa dan sumbangannya.
Sudah tentu pada PAS setiap yang menyertainya, diharapkan tidak menyertainya untuk satu ketika tetapi sebolah-bolehnya biarlah dia mati dalam parti itu.
Jika boleh kita mahu ada dalam PAS seorang ahli macam Dato Ibrahim Ali bagi UMNO, sesudah dihina dan dipecat dari ahli seumur hidup, dia tidak berubah setia pada UMNO, menunggu untuk diterima semula menjadi ahli UMNO. Ketika UMNO tidak bercadang untuk mengambilnya semula, dia buat macam-macam kegiatan untuk partinya yang membuangnya itu.
Apa pun Hasan tentu tidak dipecat sampai mati. Dia ada peluang untuk merayu kalau mahu, kalau dia rasa parti itu dapat menjadi saluran kepadanya memperjuangkan kepentingan Islam, bangsa Melayu dan raja. Itu pun kalau dia mahu jadi macam kebanyakan ahli PAS yang bercita-cita untuk mati sebagai ahli PAS.
Tentu ramai yang pilu atas tindakan ke atasnya, bahkan mengeluarkan air mata, tetapi tidaklah air mata itu sampai menjadi sebatang sungai baru di Selangor. Justeru setiap ahli PAS ada juga jasanya disamping ada sebab musabab dia terpaksa dipecat.
PAS pernah memecat keahlian bekas Yang Dipertua Agungnya Dato Asri bersama beberapa orang ahli anggota Jawatankuasa Agung yang lain. Siapa kata Dato Asri tiada jasa dalam PAS? Bahkan besar jasanya kepada parti. Tetapi demi kepentingan parti, jasa-jasa yang besar dan banyak tidak menjadi sebab seseorang tidak boleh dipecat.
Pemecatan tidak dibuat atas kemahuan Mursyidul Am atau Presiden parti, tetapi dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Tentunya ia tidak dibantah oleh Majlis Syura.
Saya pernah mewakili PAS ke Ijtimak Jamiatee Islami Bangladesh. Jamiatee adalah sama bagi Pakistan dan India. Tiada siapa boleh terus jadi ahli parti Islam itu melainkan setelah sepuluh tahun menjadi Rukun, satu nama bagi pemohon menjadi ahli. Sesudah 10 tahun jadi Rukun pun belum tentu diterima menjadi anggota Jamiatee Islami.
Dalam keadaan demikian berpuluh ribu anggota Rukun menunggu dengan sabar untuk menjadi ahli.
Tetapi PAS tidak seketat rakan-rakan parti Islam di benua kecil India. Hassan Ali tidak perlu menunggu 10 tahun untuk menjadi ahli Jawatankuasa Pusat dan Naib Presiden parti. Dan diberi amanah selama lapan tahun jadi Pesuruhjaya PAS Selangor.
Di Selangor dia jadi orang PAS yang paling bertuah sepanjan sejarah, menjadi Exco kerajaan Negeri Selangor apabila Pakatan memerintah. Orang yang lebih besar dan lama perjuangannya di Selangor tidak sebertuah sepertinya.
Saya tahu sedikit sebanyak masalah dalaman parti. Penggal pertama Hassan menjadi pesuruhjaya, dia telah tidak menjadi calon tunggal untuk menyambung amanah itu. Dia sudah tidak dinamakan, tetapi Jawatankuasa PAS memberi peluang kepadanya untuk menjadi PJ lagi hinggalah ke tahun 2011.
Setakat dia mempertikai dasar terkini PAS secara terbuka, PAS tidak begitu segera untuk bertindak drastik, tetapi apabila dia boleh menserba-salahkan hubungan PAS dengan sekutu-sekutunya dalam Pakatan Rakyat, maka PAS tidak banyak pilihan melainkan.
Sekarang Hasan sudah bebas, seperti burung dia boleh terbang melayang sejauh mana dan setinggi mana pun di angkasa raya. Dia boleh kata apa yang dia rasa perlu kata. Dia boleh hinggap di mana dahan yang ada.
Melepaskannya dari PAS adalah untuk membebaskannya bersuara bebas seperti yang dijamin oleh perlembagaan negara.
Hasan boleh bebas melayang di angkasa raya:'via Blog this'
No comments:
Post a Comment