SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, beliau dan Ketua Wanita parti Zuraida Kamaruddin bersedia untuk berhadapan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di mahkamah.

"Kita akan bertemu di mahkamah," kata beliau dalam satu salah mesej menerusi Twitter petang ini.

Mengulas tindakan saman RM100 juta yang diambil oleh Shahrizat hari ini, Rafizi berkata, "apa-apa pun ia tidak akan menjejaskan hari sayalah. Saya tetap akan pergi menikmati satar di Kemaman esok. Kemungkinan kerutuk lembu juga."

Shahrizat memfailkan saman ke atas kedua-dua pemimpin PKR itu berhubung kenyataan-kenyataan berkenaan projek lembu daging kontroversi yang dikaitkan dengan keluarganya.

Dalam satu lagi mesej, Rafizi berkata, secara politik, keputusan membawa kes itu ke mahkamah adalah tindakan "membunuh diri bagi Shahrizat."

Dalam mesej Twitter sekitar jam 4 petang tadi, katanya, ini kerana pihaknya menantikan pertemuan di mahkamah untuk mendedahkan segala maklumat.

Dilihat merujuk kepada nilai tuntutan, Rafizi berkata: "Kalau Kak Jat (Shahrizat) menang, beliau boleh ambil kereta saya yang murah. Tiada hal."

"Kalau kita orang menang, adakah kami boleh dapatkan kondo-kondo," katanya lagi.

Shahrizat memfailkan saman RM100 juta terhadap Zuraida dan Rafizi berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah beliau berhubung isu NFC.

Beliau memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil melalui firma peguam Shafee & Co pada kira-kira pukul 3 petang tadi.

Shahrizat, yang kini bercuti tiga minggu untuk memudahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kontroversi NFC, menuntut ganti rugi am RM50 juta dan RM50 juta lagi bagi ganti rugi teladan dan teruk daripada kedua-dua defendan.

Beliau juga memohon satu injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau dengan cara penerbitan terhadap beliau berhubung sebarang perkara berkaitan dengan National Feedlot Coperation Sdn Bhd atau starikat-syarikat bersekutu.

Beliau juga menuntut kos perundangan dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Shahrizat menyatakan bahawa pada setiap masa beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam NFC dan kedua-dua defendan mula mengadakan sidang akhbar di pelbagai lokasi untuk memfitnah NFC, suaminya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan keluarga.

Ketua Wanita Umno itu mendakwa bahawa defendan secara sistematik dan berniat jahat melancarkan satu kempen untuk "serang, mencemarkan nama baik, memburuk-burukkan dan memfitnah plaintif" dengan menyebarkan dakwaan mengandungi fitnah terhadap beliau.

Peguam Sharizat, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita bahawa anak guamnya berasa bahawa budaya bebas daripada hukuman berhubung mengeluarkan kenyataan memfitnah dan menyebarkan khabar angin mesti dihentikan.

Rafizi dalam kenyataan berasingan yang dikeluarkan berkata, beliau yakin bahawa semua pendedahan yang dibuat setakat ini adalah benar belaka kerana ia berdasarkan maklumat kewangan dan operasi yang dibocorkan dari dalam NFC sendiri.

"Sebelum memulakan siri pendedahan skandal, pasukan kami telah pun berbincang dengan peguam-peguam PKR mengenai kemungkinan dikenakan tindakan saman.

"Oleh yang demikian, saya dan YB Zuraida bersedia untuk berdepan dengan peguam-peguam Umno di mahkamah kelak," katanya.

Rafizi menambah, peluang ini memang telah ditunggu-tunggu agar pihaknya boleh menggunakan kuasa mahkamah untuk mencari kebenaran sejauh manakah berlakunya penyelewengan di dalam NFC, selain dari yang didedahkan setakat ini.

"Pun begitu, Datuk Seri Shahrizat Jalil juga perlu berdepan dengan mahkamah rakyat yang mual dengan pelbagai keborosan dan salah guna wang yang didedahkan setakat ini.

"Sebab itu saya percaya tindakan mengenakan saman ini adalah tindakan politik untuk menutup mulut saya dan YB Zuraida dari terus membuat pendedahan, di samping cuba memberi gambaran seolah-olah beliau tidak gentar untuk mempertahankan NFC di mahkamah," katanya lagi.

Katanya, jika pimpinan Umno seperti Shahrizat beranggapan mereka boleh menutup mulut dan akal rakyat sepertinya dengan mengemukakan saman seperti ini, mereka tersilap besar.

"Peluang di mahkamah kelak akan digunakan sepenuhnya untuk membongkar lebih banyak penyelewengan dan bakal diikuti oleh lebih ramai rakyat," katanya.