Friday, January 20, 2012

Pelajar ditahan ugut PM dalam facebook

ALOR SETAR: Seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Sungai Petani, di sini, ditahan selepas didapati menghamburkan kata-kata berbaur ugutan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam laman sosial facebook miliknya.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, polis mengesan aktiviti itu pada jam 10 malam kelmarin sebelum menjejaki pelajar berkenaan berikutan kata-katanya mampu mengancam nyawa pemimpin negara termasuk menggunakan perkataan lucah.

Katanya, pihaknya menahan pelajar jurusan pergigian berusia 20 tahun di pusat pada jam 9 pagi semalam sebelum diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di Sungai Petani.

“Ketika keterangan diambil, kami turut memanggil keluarganya supaya mengetahui aktiviti anak mereka. Pelajar itu dibebaskan petang tadi (semalam) selepas mendapat jaminan daripada keluarganya.

“Berdasarkan keterangan pelajar itu, kami akan memanggil satu pihak lagi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan perbuatan berkenaan dan siasatan terperinci sedang dijalankan daripada segenap penjuru,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Ahmad berkata, pihaknya turut merampas telefon bimbit termasuk komputer riba milik pelajar itu supaya semakan secara menyeluruh dapat dijalankan.


Menurutnya, pihaknya mengambil keputusan untuk membebaskan pelajar berkenaan kerana dia turut terbabit dengan peperiksaan selain tidak mahu mengganggu pembelajaran selepas mendapat jaminan daripada keluarganya.

No comments:

Post a Comment