January 4, 2012
IPOH – Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM10 juta terhadap penulis blog Sekupangdua, Ahmad Sofian Yahya, 47, yang didakwa memaparkan artikel memfitnahnya.
Kor Ming selaku plaintif mendakwa artikel bertajuk Panas! Bongkar Nga Komeng dan Pakatan Rakyat Menyamun yang ditulis Ahmad Sofian dan disiarkan dalam blog berkenaan bertarikh 16 Disember 2011 adalah suatu fitnah serta berniat jahat.
Writ saman tersebut difailkan di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini, semalam melalui firma guaman Tetuan Leong &Tan.
Dalam pernyataan tuntutannya, Ahmad Sofian sebagai defendan dalam blognya di http://www.sekupangdua.blogspot.com pada 16 Disember lalu dikatakan telah memuat naik beberapa salinan dokumen yang menunjukkan berlaku salah guna kuasa dalam pemberian tender menjahit 24 kot ahli majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Dokumen itu mendedahkan syarikat Ethan dan Elton, yang mana salah seorang pengarahnya merupakan isteri Kor Ming, Wong Seow Ching memenangi kontrak tersebut walaupun menawarkan harga lebih tinggi berbanding pembida lain.
Pada asalnya, kontrak itu ditawarkan kepada GoodmanTailor pada 3 April 2008 kemudiannya diberikan kepada Ethan dan Elton selepas disyorkan Kerajaan Negeri ketika itu.
Artikel tersebut menggambarkan plaintif antaranya tidak beramanah, penyamun harta rakyat dan menyalahgunakan kuasa sebagai seorang exco di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.
Pihak plaintif menyatakan, defendan mempunyai niat jahat dalam menulis dan menerbitkan artikel tersebut dengan tujuan menghancurkan dan memusnahkan nama baik dan kerjaya politik plaintif.
Ekoran penerbitan tersebut, pihak plaintif menyatakan, maruah dan reputasinya telah terjejas serta mengalami tekanan mental yang teruk.
Dalam writ saman itu, pihak plaintif turut memohon injunksi bagi menghalang pihak defendan daripada menulis, menerbitkan kenyataan berunsur fitnah dalam blog beliau yang menyentuh plaintif dan ahli keluarga.
Turut dituntut adalah ganti rugi am berjumlah RM10 juta, ganti rugi teladan dan ganti rugi keterlaluan yang tidak dinyatakan jumlahnya, faedah dan kos.
Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping dan Adun Pantai Remis ditemani tiga peguamnya, Leong Cheok Keng, Augustine Anthony dan Nga Hock Cheh.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment