Friday, January 6, 2012

Polis ajak bincang lokasi sesuai

Perhimpunan sokong Anwar depan mahkamah ganggu ketenteraman

KUALA LUMPUR: Polis membenarkan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan yang dirancang mereka, Isnin ini, tetapi perlu mematuhi beberapa syarat, termasuk mengubah lokasinya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata kebenaran itu selaras Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan Parlimen, bulan lalu bagi memberikan hak kepada rakyat untuk berhimpun secara aman tanpa senjata.
Katanya, perhimpunan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini seperti dirancang tidak sesuai kerana dikhuatiri boleh mengganggu ketenteraman awam dan segala urusan mahkamah pada hari berkenaan.

Beliau berharap penganjur bertemu Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh bagi membincangkan lokasi yang bersesuaian untuk mengadakan perhimpunan berkenaan.

“Walaupun Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 belum digazetkan, kami sedia membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan dengan syarat mereka membatalkan perhimpunan di hadapan mahkamah bagi menjaga kepentingan umum,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata, tindakan yang akan diambil polis dalam perhimpunan kali ini juga berbeza dengan sebelumnya di mana ia bakal menonjolkan keprihatinan polis dalam memberi hak bersuara kepada rakyat tanpa melanggar undang-undang.
“Kita akan menggunakan pendekatan nasihat sebagai kaedah terbaru selaras dengan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman, namun tidak menolak kemungkinan menggunakan elemen penyuraian seperti penggunaan meriam air dan gas pemedih mata sekiranya perhimpunan mengancam keselamatan.

“Penganjur perlu memastikan perhimpunan berlangsung aman tanpa sebarang senjata, tidak mendatangkan aib atau menjatuhkan maruah serta menghina mana-mana pihak.

“Penyokong kedua-dua pihak (Anwar dan bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan) akan diasingkan dan berada dalam kawasan berbeza bagi mengelak pergaduhan dan pertembungan.

“Kita tidak akan menggagalkan perhimpunan dirancang, sebaliknya hanya mengambil tindakan jika berlaku perlanggaran undang-undang, termasuk menahan mereka yang didapati mencetuskan suasana huru-hara sehingga mendatangkan keadaan tidak selamat,” katanya.

Ismail turut berharap masyarakat menghormati sistem kehakiman negara dan semua menerima apa saja keputusan dibuat mahkamah, selain tidak membuat sebarang provokasi.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan dengan Warga Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di sini, semalam, Ismail berkata FRU sudah siap segi mental dan fizikal untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Berita Harian Online | Polis ajak bincang lokasi sesuai:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment