Hasan Ali

SHAH ALAM - Pas Selangor tetap dengan pendirian akan menyertai perhimpunan Bebaskan Anwar 901 Isnin ini, sambil menyifatkan kenyataan Datuk Dr Hasan Ali semalam sebagai "pandangan peribadi" beliau semata-mata.

Pesuruhjayanya, Dr Abd Rani Osman juga menolak dakwaan Hasan bahawa beliau hanya mengeluarkan pandangan peribadi, bukannya pendirian parti Islam itu apabila menggatakan akan menggerakkan ahli dan pengikutnya menyertai perhimpunan minggu depan.

Abd Rani, yang menggantikan Hasan sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor Jun lalu menambah, pemimpin-pemimpin tertinggi parti termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar sendiri sudah mengatakan bakal menyertai perhimpunan yang akan diadakan pada hari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual mengumumkan keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini bukan pandangan peribadi saya. Ketua Penerangan Pas Selangor pun sudah mengatakan akan menghantar SMS meminta ahli-ahli Pas sertai perhimpunan 901, malah Presiden Pas dan Datuk Mahfuz juga sudah mengatakan akan sertai.

"Jadi apa isunya? Ini bukan pandangan peribadi saya, tetapi saya lihat apa yang dikatakan oleh Datuk Hasan semalam adalah pandangan peribadi beliau semata-mata," katanya kepada Sinar Harian Online pagi ini.

Abd Rani berkata kenyataan beliau tempoh hari ini sebenarnya telah diputuskan oleh pemimpin-pemimpin parti dalam mesyuarat-mesyuarat yang telah diadakan sebelum ini, yang mana Hasan sendiri tidak hadir.

"Sudah tiga kali kami menjemput Datuk Hasan agar hadir mesyuarat (Pas Selangor). Beliau sendiri tidak datang.

"Jadi, jangan kata ini pendirian peribadi saya, apa yang dikatakan oleh Datuk Hasan tidak betul," katanya lagi.

Dalam satu kenyataan semalam, Hasan berkata perhimpunan Bebaskan Anwar 901 Isnin ini tidak harus disertai dan tidak wajar diadakan kerana ia adalah isu peribadi seorang pemimpin, yang tidak membabitkan soal masyarakat.

Exco Kerajaan Negeri Selangor itu berkata tindakan Rani itu hanya pendapatnya sendiri dan telah membelakangi pandangan pimpinan pusat.

Hasan, salah seorang pemimpin yang menjadi perhatian dalam kontroversi berkaitan isu bakal calon Pas bulan lalu menegaskan, beliau tidak akan menyertai perhimpunan Isnin ini.

“Pas Selangor nampak proaktif dalam cara yang salah sebab sebelum ini dihalang ahli pergi Himpun 2011, padahal itu perkara baik membincangkan isu agama yang sebenarnya hala tuju parti Pas.

“Kalau diteruskan sikap seperti ini, pandangan parti nampak tak cantik. Jangan malukan parti dengan kenyataan dia (Rani) yang tidak mewakili Pas, itu kenyataan peribadi dia," katanya.

Sebaliknya Abd Rani menambah, Pas Selangor sebenarnya tidak mahu "melayan sangat" isu membabitkan Hasan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia.

"Cakap terus-terang, saya tidak memberi perhatian sangat isu Datuk Hasan ini. Kita ada banyak lagi isu besar untuk diuruskan, mengadakan kempen Gelombang Hijau misalnya, bagi menghadapi pilihan raya umum.

"Kita serahkan kepada Pas pusat untuk mengendalikan isu-isu membabitkan Datuk Hasan," katanya lagi.