January 6, 2012
PUTRAJAYA - Tujuh nelayan dari Pontian yang ditahan Polis Air (Pol-Air) Indonesia pada 8 Mac lalu di Perairan Senggarang dibebaskan selepas mendapat pengampunan Presiden Republik itu, Susilo Bambang Yudhoyono pada 24 Disember lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, pengampunan tersebut membolehkan kesemua nelayan tersebut dibebaskan kelmarin.
Tempoh hukuman penjara mereka dikurangkan tiga tahun tiga bulan serta dibebaskan serentak tanpa sebarang denda.
Kumpulan nelayan itu terdiri daripada tekong, Ibrahim Mohd Kassim bersama-sama awak-awak kapalnya, iaitu Redzuan Aris, 36, Mohamad Zamri Hambali, 27, dan Subaini Samsudin, 40.
Tiga lagi adalah dari bot lain, diketuai tekong, Zainodin Adam, 54, dan awak-awak Rosli Abd Rashid, 35, dan Jamil Mat Top, 54.
Ahmad berkata, enam nelayan dari Pontian dijangka tiba pada jam 2 petang hari ini di Jeti Bandar Hilir, Melaka.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden Indonesia, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Wisma Putra, Kedutaan Indonesia di Malaysia, Kedutaan Malaysia di Indonesia dan Konsul Pekan Baru, kerana membantu kesemua nelayan ini tanpa sebarang hebahan,” katanya dalam sidang media, semalam.
Menurutnya, Najib mengadakan rundingan mengenai pembebasan nelayan itu sebanyak dua kali bersama Susilo ketika ke Indonesia.
“Saya juga menghantar Setiausaha Sulit dan Setiausaha Kanan untuk berbincang perkara tersebut serta menyediakan seorang peguam bela warga Indonesia,” katanya.
Beliau, yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno sentiasa membantu keluarga nelayan tersebut dengan memberikan bantuan kewangan dan menyediakan peralatan sekolah kepada anak-anak mereka.
Kesemua nelayan tersebut ditahan atas tuduhan bersama-sama dengan sengaja memiliki, menguasai, membawa alat bantu penangkapan ikan yang mengganggu dan merosak lanjutan sumber daya ikan di kapal tangkap ikan di Wilayah Pengelolaan Republik Indonesia.
Mereka ditahan di Bengkalis dan Mahkamah Pengadilan Bengkalis menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda 1 Miliyar Rupiah bersamaan RM380,000.00 setiap seorang pada 5 Mei 2011.
Sekiranya tidak boleh membayar denda itu, tambahan penjara selama enam bulan akan dikenakan kepada mereka.
Menurutnya, mereka tidak mempunyai sumber kewangan untuk membela diri dan membayar peguam bela. Oleh itu, beliau menyediakan peguam bela dan mencari dana untuk membiayainya.
“Peguam bela membela diri di Mahkamah Tinggi Pekan Baru pada 7 Jun 2011 dan mengesahkan mereka dikekalkan dengan hukuman dua tahun penjara, denda 1 Miliyar Rupiah,” katanya.
Beliau berkata, kemudian kes itu di bawa ke Mahkamah Agong Jakarta 9 Ogos 2011 dan keputusannya ialah penambahan hukuman menjadikan kesemua mereka dipenjarakan selama empat tahun.
Bagaimanapun, surat pengampunan yang diterima olehnya kelmarin (4 Januari) melegakan apabila kesemua mereka dibebaskan.
Hadir sama pada sidang media itu ialah Setiausaha Politik Menteri Luar, Datuk Norhaidi Che Dan dan kesemua ahli keluarga tujuh nelayan terlibat.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment