Saturday, February 11, 2012

Aset udara APMM tersadai


KUALA LUMPUR 10 Feb. - Akibat apa yang didakwa sebagai 'ketirisan' dan kelemahan pentadbiran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), lima daripada lapan aset udara pihak berkuasa itu kini tersadai ibarat gajah putih.

Menurut sumber, selain masalah penggantungan operasi aset udara, sepasukan petugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah beberapa kali melakukan pemeriksaan di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya berkaitan 'Bayaran Insentif Penerbangan' kepada anak kapal yang tidak berkelayakan sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, kelemahan itu antara lain menyebabkan dua pesawat amfibia agensi berkenaan iaitu Bombardier CL415MP dihentikan operasi sejak Disember 2010 manakala tiga helikopter AgustaWestland AW139 berhenti beroperasi mulai September 2011.

Katanya, penghentian operasi kelima-lima aset itu secara tidak langsung menjejaskan keupayaan Cawangan Udara agensi tersebut.

"Kelemahan itu antara lain menyaksikan aktiviti penyelenggaraan AW139 masih dilaksanakan oleh pihak kontraktor yang belum memperoleh status kelayakan menyelenggara dan Certificate Of Airworthiness pesawat berkenaan digantung.

"Jika masalah kelemahan selenggara, pengurusan pesawat dan sumber manusia APMM tidak diambil perhatian oleh pihak berkuasa, ia dikhuatiri akan berterusan dan sengaja dimanipulasikan oleh pihak tertentu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sumber tersebut menambah, APMM gagal menggerakkan kelima-lima pesawat itu kerana kontrak penyelenggaraan asal syarikat yang dilantik, AJ Aviation Services Sdn. Bhd. dan AgustaWestland telah dihentikan.

Katanya, berdasarkan bilangan pesawat yang kecil dan usia yang masih baru, APMM dan negara secara amnya hanya mempunyai beberapa orang kapten pesawat yang berkelayakan bertugas dalam semua keadaan cuaca pada bila-bila masa.

Katanya, dua jurulatih pesawat helikopter agensi itu dipinjamkan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan tamat tempoh pada pertengahan tahun ini manakala satu-satunya jurulatih penerbangan agensi itu dirancang ditukar ke bahagian lain.

"Pembangunan modal insan turut terjejas di mana pelatih-pelatih penerbangan gagal menamatkan latihan walaupun kos latihan telah dijelaskan kerajaan akibat daripada kelemahan pemantauan dan pengurusan oleh pihak berkaitan," dakwanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim, Datuk Mohd. Amdan Kurish ketika dihubungi mengakui pihaknya mempunyai sedikit masalah berhubung penyambungan kontrak penyelenggaraan pesawat itu yang kini dalam peringkat akhir perbincangan.

Kerana masalah itu katanya, kelima-lima aset udara tersebut tidak dibenarkan untuk beroperasi atas faktor keselamatan selari dengan amalan dan arahan kerajaan.

Bagaimanapun menurutnya, kesemua aset tersebut dijangka kembali beroperasi selepas segala prosedur penyambungan kontrak itu diselesaikan dalam masa terdekat ini.

"Mengenai SPRM pula, ia bukannya siasatan tetapi mereka meminta kerjasama kami menyediakan beberapa dokumen mengenai perkara tertentu, saya tidak pasti kerana baru pulang daripada bercuti," katanya.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment