10 Februari 2012
KOTA BHARU - Seorang ibu kini hidup tertekan untuk menyara lima anak selepas suaminya ditahan polis Jumaat lalu dipercayai mencederakannya.
Lebih memeritkan Rohana Abdullah, 40, mendakwa dirinya juga sering kali dipukul oleh suaminya sepanjang 10 tahun lalu, kini terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga membesarkan anak-anaknya.
Rohana berkata, hidupnya semakin tertekan kerana dia sebatang kara perlu bekerja mencari wang untuk membesarkan anak-anaknya berusia tiga hingga 17 tahun termasuk menjaga seorang cucunya, Nor Safira Abdullah yang berumur tiga tahun.
“Sebelum ini, saya terpaksa menyerahkan RM15 hingga RM20 setiap hari kepada suami dan penahanan suami saya juga disebabkan dia mencederakan muka saya dengan menggunakan wang yang dibakarnya setelah berlaku pertengkaran ketika dia meminta duit daripada saya untuk perbelanjaan dirinya.
"Sekarang, setelah dia ditahan saya perlu menanggung semuanya sendiri dan saya mengambil peluang menjual satar di Wakaf Che Yeh supaya anak-anak tidak berlapar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Nasib malang yang dialami Rohana bukan sahaja ditanggung sendiri, tetapi tiga anaknya Wan Mazwan Idayu, 17, Wan Maizatul Amira, 16 dan Wan Maznira, 11, yang trauma dengan kejadian menimpa ibunya mengambil keputusan untuk berhenti sekolah dua bulan lalu.
Rohana berkata, anak-anaknya tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran kerana sering melihat dia dan suami bergaduh.
Dalam pada itu, kisah hidup Rohana yang perlu membayar sewa rumah dan termasuk bil elektrik berjumlah RM150 sebulan mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Skuad Sayang Parlimen Pengkalan Chepa.
Pengarah JKM Negeri, Md Noor Chik berkata, pihaknya akan berusaha untuk mendaftarkan semula persekolahan ketiga-tiga anak tersebut termasuk menambahkan jumlah bantuan bulanan.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment