SETIAP individu mengimpikan sebuah kenderaan yang terbaik dan selamat tanpa mengira sama ada ia model baharu atau terpakai bagi memudahkan urusan harian masing-masing.
Namun tidak semua individu bernasib baik dengan memiliki kereta terpakai dalam keadaan yang 'tip top' kerana ada antara mereka terpaksa berdepan pelbagai risiko kerosakan termasuk enjin terbakar semasa digunakan.
Itulah yang dihadapi seorang penyelia sebuah syarikat swasta di Singapura, M. Gdp Sundhararao, 35, apabila kereta Toyota Estima berharga RM100,000 yang dibelinya pada 2 Ogos tahun lalu terbakar semasa dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Labis.
Kejadian didakwa berlaku pada 1 September 2011 atau 29 hari selepas kereta itu dibeli iaitu ketika dia bersama keluarganya sedang dalam perjalanan bagi menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di Labis.
Malang tidak berbau apabila setibanya di Kilometer 50 berhampiran Simpang Renggam, kereta yang dipandunya itu mengeluarkan bunyi bising di bahagian enjin.
Risau dengan keadaan itu, dia segera memberhentikan kenderaan tersebut dan apabila dibuka, api mula keluar dari bahagian kiri enjin. Dia cuba memadamkan api itu dengan dibantu oleh pemandu-pemandu lain yang prihatin.
"Apa yang saya kesal adalah apabila saya menghubungi syarikat kenderaan Hin Kee Motor Enterprise tempat saya membeli kereta itu, mereka tidak mahu datang ke tempat kejadian bagi memberi bantuan, sebaliknya bertanya kepada saya kenapa mereka perlu datang.
"Kereta itu kemudian dihantar ke bengkel panel insurans untuk tujuan baik pulih dan mendapati ia memang berpunca daripada bahagian dalaman enjin," katanya.
Wanita itu meluahkan rasa tidak puas hati kerana semasa membeli kenderaan itu, pihak syarikat memberitahu enjin kereta berada dalam keadaan baik dan apabila masalah berlaku mereka enggan bertanggungjawab.
Kesal dengan apa yang berlaku, Sundhararao membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Johor Bahru dan kes tersebut didengar oleh Presidennya, Mohd. Nasrim Mohd. Salleh baru-baru ini.
Pada prosiding tersebut, Pengurus Hin Kee Motor Enterprise, Lew Sin Fatt memberikan alasan kenderaan itu terbakar kerana berpunca daripada kerosakan pendawaian yang terdapat dalam kenderaan itu.
Alasan itu bagaimanapun tidak diterima oleh Mohd. Nasrim memandangkan pihak syarikat itu tidak hadir ke tempat kejadian semasa kenderaan itu terbakar sambil menyifatkan alasan itu sebagai rekaan semata-mata.
Mohd. Nasrim kemudian memerintahkan syarikat itu membayar pampasan sebanyak RM4,864 kepada Sundhararao sebagai bayaran terhadap kerugian yang ditanggung oleh wanita tersebut.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment