LONDON - Arab Saudi akan bertindak cepat untuk mendapatkan senjata-senjata nuklear jika Iran berjaya melakukan ujian bom atom, demikian menurut satu laporan media Barat.

Dengan merujuk kepada sumber-sumber Arab Saudi yang tidak didedahkan identiti mereka, akhbar The Times berkata, negara itu akan berusaha untuk membeli senjata nuklear dan juga memulakan program-program memperkaya uranium jika Iran berjaya dalam usaha melakukan ujian bom atom.

Malah menurut akhbar itu, kemungkinan besar Pakistan akan membekalkan senjata nuklear kepada Arab Saudi.

Pegawai-pegawai Barat menyedari sudah wujud persefahaman antara negara-negara terbabit untuk mengambil langkah itu sekiranya situasi di Teluk Parsi semakin memburuk.

Bagaimanapun Pakistan dan Arab Saudi menafikan kerjasama sedemikian.

Iran, yang berpegang kepada amalan Syiah manakala Arab Saudi pula Sunah, dilihat sebagai dua pesaing di rantau Teluk.

Laporan The Times, yang dipetik AFP dan msnbc, menggambarkan sumber kepada beritanya sebagai seorang pegawai kanan Arab Saudi.

Bagaimanapun ia tidak memberi butiran terperinci mengenai aspek itu.