Nasrudin Hasan

GOMBAK - Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hasan menegaskan, beliau tidak lagi bersama Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, malah tidak ambil peduli terhadap tindak tanduk bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi mendakwa Dewan Pemuda Pas berada di belakang dan menyokong tindakan-tindakan diambil Hasan.

Nasrudin berkata, setelah Hasan dipecat dan tiada rayuan dibuat, beliau menganggap bekas Exco Selangor itu sebagai orang luar yang tiada kena-mengena dengan Pas.

Hasan dipecat oleh Pas pada 8 Januari dan minggu lalu, beliau mengumumkan tidak akan membuat rayuan.

"Saya difahamkan sebelum ini dalam 'roadshow' beliau, Hasan ada berkata yang Pemuda berada di belakangnya, menyokongnya. Di sini saya nak tegaskan bahawa saya tak bersama beliau selepas dia keluar Pas dan dia tidak kemuka rayuan. Saya tak bersama beliau," katanya pada sidang media selepas mesyuarat bulanan Pemuda Pas di sini, hari ini.

Selain itu, Nasrudin berkata, walaupun terdapat beberapa kenyataannya sebelum ini yang didakwa menyebelahi Hasan, ia disebabkan Adun Gombak Setia itu masih lagi ahli Pas.

"Pemuda sejak awal lagi konsisten perjuangkan Islam. Kita tak pernah menyeleweng seperti yang didakwa dia (Hasan) yang mengatakan Pas kini mengabaikan perjuangan. Dari segi penubuhan negara kebajikan, kita cuma memperhalusi pendekatan dan perbaharui tindakan yang sesuai mengikut suasana. Itu perkara biasa.

"Mungkin bila kita ubah nama dari negara Islam kepada negara kebajikan, dia mengatakan kita sudah abai perjuangan. Sebenarnya tidak ada beza pun. Negara kebajikan ialah membina negara Islam," tegasnya.