Sunday, February 12, 2012

Bayi mati didakwa akibat kecuaian HSA



Cassindra (kiri) dan Jacbelin menunjukkan gambar Angel Cassandra sebelum meninggal dunia di rumah mereka di Johor Bahru, semalam.


NUSAJAYA 11 Feb. – Sepasang suami isteri berketurunan Iban hanya sempat menimang cahaya mata sulung mereka enam hari apabila bayinya itu meninggal dunia semalam akibat tersedak susu.

Kejadian tersedak susu itu didakwa berlaku di wad Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru setelah bayi itu dirawat di situ selama dua hari.

Ibu bayi terbabit, Cassindra Gelungan, 25, mendakwa, anaknya yang diberi nama Angel Cassandra dilahirkan dalam keadaan normal dan sihat pada 4 Februari lalu.

Namun, katanya, disebabkan dilahirkan tidak cukup bulan iaitu berusia 35 minggu, Angel terpaksa ditahan di wad HSA.

“Sepanjang tempoh itu, saya sendiri datang melawat dan menjaganya. Namun ketika tiba di wad yang menempatkan bayi saya pada Rabu lalu, ada kesan lelehan susu kering di bahagian tepi mulutnya.

“Angel tidak memberi sebarang respons pergerakan. Saya segera maklumkan kepada jururawat bertugas dan rawatan kecemasan dilakukan. Dan ia berjaya membuatkan jantung Angel kembali berdegup sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Sejak insiden itu, anak saya berada dalam keadaan kritikal dan pada semalam, keadaannya amat lemah dan pukul 4.20 petang, anak saya disahkan meninggal dunia oleh doktor,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Taman Nusantara di sini hari ini.

Bapa bayi itu, Jacbelin Jemmy, 23 memberitahu, dua laporan polis berkaitan kes terbabit di buat di Balai Polis Johor Bahru Sentral hari ini.

Jacbelin dalam nada kesal bagaimanapun memberitahu, dia kecewa dengan sikap sambil lewa kakitangan HSA yang cuai menjaga bayinya walaupun katil Angel berada dekat dengan kaunter jururawat dan laluan utama mereka.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Dr. Mohd Khairi Yakub ketika dihubungi berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyiasat secara terperinci mengenai kematian Angel.

“Kita melakukan bedah siasat dan mendapati terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kematian bayi berkenaan. Bagaimanapun, kami akan menyiasat perkara ini dengan lebih teliti,” katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment