Sunday, February 12, 2012

Cuaca sejuk di Eropah semakin buruk, 540 maut



Seorang lelaki terpaksa memanjat salji tebal untuk keluar dari sebuah pondok di kampung Varasti, kira-kira 100 kilometer di timur Bucharest, kelmarin. - AFP


BUCHAREST 11 Feb. - Sebanyak 13 orang lagi dilaporkan terbunuh di Romania dan beribu-ribu terputus hubungan ketika cuaca sejuk melampau yang melanda Eropah berterusan.

Pihak berkuasa berkata, lebih 20,000 orang terperangkap di timur negara ini, manakala beratus-ratus orang gelandangan dipindahkan ke pusat perlindungan ekoran suhu menurun ke 20 darjah celsius di bawah paras beku.

Kematian 13 orang itu dilaporkan berlaku kelmarin dan semalam, sekali gus meletakkan jumlah kematian keseluruhan di Romania meningkat kepada 57 orang.

Jumlah keseluruhan mereka yang terbunuh akibat cuaca sejuk melampau di seluruh Eropah pula dilaporkan telah melebihi 540 orang.

Hungary terpaksa menutup sungai Danube, yang merupakan antara laluan kapal tersibuk di Eropah, selepas air sungai membeku.

Sungai Danube sepanjang 2,860 kilometer yang merentasi 10 negara itu menjadi medium utama kepada pengangkutan air, perikanan dan industri pengairan.

Di Ukraine, korban akibat cuaca sejuk mencecah 130 orang dan menyebabkan tanaman bijirin di selatan dan timur negara itu musnah.

Lebih 60 kapal hanyut dalam aliran ais atau terkandas akibat air yang membeku.

Helikopter turut digunakan di Serbia untuk menghantar bekalan makanan ke kawasan pedalaman di bahagian barat daya negara itu ekoran dilanda salji tebal beberapa hari.

Cuaca sejuk di Turki dan salji tebal turut menyukarkan kehidupan lebih 140,000 mangsa gempa bumi yang terselamat dan yang tinggal di khemah-khemah sementara. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment