Sunday, February 12, 2012

Suu Kyi mula kempen pilihan raya


YANGON 11 Feb. - Ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi hari ini memulakan kempennya untuk pilihan raya kecil pada 1 April ini, yang bakal menjadi ujian getir kepada pembaharuan kerajaan baru negara ini.

Suu Kyi, 66, disambut oleh beratus-ratus penyokongnya yang beratur di sepanjang jalan dari Yangon ke pekan Kawhmu, 30 kilometer ke selatan bandar itu, iaitu tempat beliau bertanding.

Pilihan raya kecil diadakan selepas 48 kerusi kosong apabila Kabinet baru memulakan tugas pada Mac lalu.

Walaupun lahir di Yangon, beliau mendaftar sebagai penduduk Kawhmu kerana menetap di perkampungan Wha Thin Kha di pekan itu, sekali gus melayakkan beliau untuk bertanding mewakili daerah tersebut.

Suu Kyi menetap di kampung itu bersama kumpulan minoriti Karen, etnik kedua terbesar daripada keseluruhan 60 juta penduduk di Myanmar.

Ini adalah pilihan raya pertama yang disertai Suu Kyi.

Ketika pilihan raya 1990 yang dimenangi oleh parti pimpinannya, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), beliau dikenakan perintah tahanan di rumah.

Pada pilihan raya 7 November 2010 pula, beliau masih dikenakan perintah tahanan di rumah, walaupun telah dibebaskan seminggu selepas itu.

Pada hakikatnya, tindakan kerajaan yang membenarkan Suu Kyi bertanding adalah kelebihan besar kepada Myanmar untuk menjadi lebih demokrasi selepas lima dekad diperintah tentera.

"Pilihan raya kecil ini adalah ujian utama kepada kerajaan baru mengenai sejauh mana pembaharuan yang dibawa oleh mereka," kata wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tomas Ojea Quintana. - dpa

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment