Rumah terbakar

JOHOR BHARU - Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dzulkefly Ahmad yang rumah teres dua tingkat beliau menjadi sasaran bom molotov awal pagi ini mengesyak,i kejadian itu ada kaitan dengan pendirian pihaknya dalam beberapa isu termasuk pengambilan QSR Brands Bhd and KFC Holdings (M) Bhd.

“Saya yakin kejadian ini ada kaitan dengan isu pengambilan QSR Brands Bhd and KFC Holdings (M) Bhd (KFCH) oleh Johor Corporation, syarikat kerajaan negeri Johor dan isu tanah Kampung Ladang, Tanjung Kupang yang diambil oleh Iskandar Investment Berhad yang saya kendalikan Khamis lalu," katanya.

Bagaimanapun Dzulkefly juga berkata, beliau tidak pernah menerima sebarang ugutan.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara, ACP Ruslan Hassan mengesahkan kejadian tersebut dan berkata pihaknya akan menyiasat kes itu daripada semua sudut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan menggunakan api, katanya dipetik Bernama.

Rumah Dzulkefly di Jalan Kemajuan 20, Taman Universiti di sini, dibaling bom molotov awal hari ini.

Bercakap kepada pemberita di sini, Dzulkefly berkata, kejadian berlaku kira-kira 3.40 pagi ketika beliau dan keluarga sedang tidur.

"Kami terjaga (dari tidur) oleh satu bunyi letupan yang kuat, rumah pun bergegar dan apabila saya turun ke bawah saya dapati pintu rumah terbuka serta api sedang marak di tempat letak kereta," katanya.

Beliau berkata kejadian itu menyebabkan kereta jenis BMW miliknya rosak teruk manakala kereta jenis Toyota Camry pula mengalami kerosakan pada bahagian depan.

Kerugian dianggar RM300,000 termasuk kerosakan perabot serta kompresor pendingin hawa, katanya.

Dzulkefly, 44, berkata ketika kejadian, beliau bersama isteri serta tiga anak dan kakak iparnya berada di rumah tersebut.