KUALA TERENGGANU – Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh mengingatkan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali supaya berfikir sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengkritik parti itu.
Walaupun kenyataan Hasan dikatakan langsung tidak memberi kesan ke atas Pas, namun Nik Zawawi menggesa Hasan supaya tidak sesekali mengikut hawa nafsu.
Nik Zawawi turut meminta bekas pemimpin Pas itu berjuang demi kepentingan agama sebagaimana yang pernah diperjuangkannya ketika berada dalam parti itu.
Hasan dipecat oleh Pas pada 8 Januari lalu.
“Dia bebas berkata apa sahaja kerana dia bukan lagi ahli Pas tetapi kita harap supaya dia berfikir dengan baik. Jangan ikut nafsu tetapi bergeraklah demi kepentingan dan perjuangan Islam,” katanya.
Hasan terus mengkritik beberapa pemimpin Pas dan mendakwa, selain pemimpin DAP dan PKR, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad penghalang utama kerja beliau sewaktu menjadi Exco Agama Kerajaan Negeri, sebelum ini.
Khalid merupakan ahli jawatankuasa kerja pusat Pas dan Yang Dipertua Pas kawasan Shah alam serta Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor.
Menurutnya, beliau memahami bantahan dibuat oleh DAP dan PKR kerana pemimpin tersebut terdiri daripada orang bukan Islam.
Sementara itu, berhubung kenyataan Hasan bahawa beliau akan menubuhkan Jati iaitu sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan, Nik Zawawi berkata, Hasan boleh berbuat apa sahaja kerana sudah tidak lagi terikat dengan Pas.
Pertubuhan itu yang didakwa Hasan sebagai kuasa ketiga dalam politik negara juga dilihat tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada Pas.
Dalam kenyataan Hasan, beliau menegaskan Jati akan menjadi kuasa ketiga dalam arena politik negara, namun belum memutuskan sama ada ia akan menyokong parti memerintah atau sebaliknya.
Nik Zawawi yang juga Ketua Penerangan Pas Terengganu tidak bimbang dengan kenyataan itu yang menggambarkan cita-cita besar Hasan dalam Jati.