3 Februari 2012
MUKADIMAH: Bukan senang bertemu bual dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau sibuk setiap hari. Sebagai tok guru yang sangat dihormati, beliau tidak putus-putus dikunjungi rakyat yang dahagakan ilmu agama dan sebagai Presiden Pas, Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Rhu Rendang, Abdul Hadi kerap mempengerusikan mesyuarat di pelbagai peringkat dan turun padang bagi mengatur strategi parti, apatah lagi dalam keadaan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) boleh diadakan bila-bila masa.
Justeru, adalah sesuatu istimewa apabila Sinar Harian diberi peluang berwawancara dengan beliau baru-baru ini. Ikutilah wawancara Timbalan Pengarang Berita, Farush Khan; Editor Terengganu, Wan Normi Hasan dan wartawan Wan Saidatul Fadzilah Wan Najemudin dengan tokoh agama dan politik itu, yang berlangsung selama 1 ½ jam di kediaman beliau di sebelah Masjid Rusila, Marang, Terengganu.
Boleh Datuk Seri jelaskan kedudukan Pas setakat ini?
HADI: Culaan terperinci (dibuat oleh petugas Pas menunjukkan) jumlah pengundi muda berumur 40 tahun ke bawah, sangat besar. Ini adalah undi penentu; di Terengganu dan di mana-mana pun begitu.
Inilah barangkali menyebabkan Umno dan BN (Barisan Nasional) teragak-agak membuat pilihan raya dengan cepat. Jadi apabila saya dapat maklumat begini, ini menandakan cawangan kita dan Dun (Dewan Undangan Negeri) kita bekerja bersungguh-sungguh sehingga mereka mendapat maklumat terperinci.
Harapan Datuk Seri pada PRU13?
Hadi: Harapan kita untuk mencapai kemenangan memang tinggi. Untuk Terengganu kita sudah meneroka asas-asas mengisi kemenangan bermula daripada kita meminda Perlembagaan Negeri Terengganu kembali kepada asalnya, kepada Perlembagaan Itqan al Muluk Bitta’addilissuluk tahun 1911, yang menjadikan hukum Islam hukum tertinggi, di mana kedudukan ini sudah dihapuskan oleh penjajah British dan diteruskan zaman, setelah kita mencapai kemerdekaan sehinggalah kita menang tahun 1999.
Pas telah membuat satu pindaan, di antaranya meletakkan semula Islam hukum tertinggi bagi negeri Terengganu. Sudah tentulah selepas itu ada pengisian-pengisian. Alhamdulillah, pindaan kita ini tidak dirombak BN, cuma mereka tidak isi.
Itu terpulang kepada kita untuk mengisi. Yang kita menunggu, kepercayaan yang diberi oleh rakyat melalui keputusan pilihan raya.
Adakah Datuk Seri akan bertanding pada PRU13 nanti?
Hadi: Terpulang kepada parti sama ada di peringkat atas ataupun dari bawah. Memang saya terlalu lama menjadi wakil rakyat. Saya hitung-hitung, di Dun sudah 30 tahun lebih, sejak 1982, Parlimen sudah belas-belas tahun; sudah lama.
Sebab itu saya memberi tawaran yang pertama, sama ada saya tidak bertanding semua, kerana dengan itu saya boleh bergerak ke seluruh negara. Yang kedua, bertanding satu sahaja. Itu harapan saya.
Kerusi Parlimen atau Dun?
Hadi: Terpulang kepada parti menilainya.
Adakah harapan Datuk Seri untuk memberi laluan kepada pengundi muda atau anak Datuk Seri sendiri?
Hadi: Anak saya biar dulu; biar jadi petugas parti. Pas ada dua tokoh besar; tok guru (Mursyidul Am) Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri sendiri.
Sekiranya Datuk Seri undur diri, tidakkah kedudukan Pas akan terjejas?
Hadi: Saya melihat pemimpin-pemimpin pelapis, sama ada dalam kalangan yang sebaya dengan saya, ataupun kurang sikit umur daripada saya, ataupun dalam kalangan muda. Kita ada ramai pemimpin pelapis, sama ada yang sudah berpengalaman mengikuti parti sejak dari awal ataupun yang baru menyertai parti; daripada pelbagai lapisan. Saya secara kebetulan mengikuti parti sejak zaman bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad lagi, generasi kedua, sampai kini. Itu penyertaan saya dan saya diberi amanah oleh kepimpinan dan mendapat kerusi Dun ketika saya terlalu muda. Masa menjadi Naib Presiden, usia saya dalam 30-an. Saya rasa terlalu lama sangat menjadi wakil rakyat dan memegang jawatan tinggi dalam parti.
Jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk memberi peluang dan laluan kepada pemimpin pelapis pula. Ramai yang layak untuk mengganti.
Andaian bahawa Pas, setelah memerintahTerengganu, tidak mampu menjalankan apa yang perlu dijalankan. Apa jawab Datuk Seri?
Hadi:Kita sudah bukti ada kemampuan untuk jalankan banyak perkara, contohnya sebaik sahaja kita menang tahun 1999 kita telah menghapuskan tol Jambatan Sultan Mahmud, kita membatalkan bayaran cukai pintu rumah kediaman. Rumah komersial sahaja yang dibayar cukai, rumah kediaman dianggap rukun hidup, tak dibayar cukai dan kita menghapuskan cukai-cukai peniaga kecil, kita hapuskan cukai nelayan kecil, kita hapus masa kita memerintah dan kita telah berjaya menyerahkan geran meneruskan hak milik tanah hampir 60,000 rakyat, termasuk peserta-peserta Felda yang tak ada geran sejak tahun 1960. Kita beri milik; lebih kurang 60,000 jumlahnya.
Di antaranya, kita telah mencapai satu kejayaan mengurangkan kadar kemiskinan dari tempoh satu penggal daripada nombor dua mengikut tertib seluruh negara kepada nombor tiga (atau) nombor empat; turun dalam masa empat tahun. Kita meningkatkan prestasi pendidikan masa kita memerintah. Kita berjaya memperkasakan keputusan peperiksaan bagi pelajar seluruh negeri Terengganu. Bahkan dalam bidang sukan, kita berjaya juga meningkatkan bidang sukan di negeri Terengganu. Banyak pencapaian kita, walaupun kita telah dinafikan hak dengan merampas royalti petroleum dan lambatkan pencen geran. Sebagai contoh kempen pelabur yang datang dalam masa satu penggal itu, kita telah berjaya menarik pelaburan dalam negeri dengan jumlah yang besar, menarik pelaburan asing dengan jumlah yang besar juga, walaupun dikempen oleh Pusat. Mereka datang kerana tiada rasuah, tiada bayaran tol apabila mereka mahu melabur di Terengganu. Ini pencapaian kita.
Kekalahan kita pada 2004 bukan kerana kelemahan kerajaan tetapi kerana pelaksanaan pilihan raya yang tidak adil. Di antaranya, pertambahan pengundi sehingga beberapa peratus, penambahan pengundi yang luar biasa. Mengikut post-mortem yang kita buat untuk pilihan raya tahun 2004, ada kawasan yang kita menang dengan ada kawasan yang meningkat dua peratus undi naik, ada yang turun dua atau satu peratus sahaja.
Adapun Kelantan, kita menurun sehingga enam peratus, tetapi kita boleh bertahan di Kelantan tidak boleh bertahan di Terengganu. Itu kerana ada sesuatu yang dibuat melalui penipuan di mana kejatuhan kita bukan kerana rakyat, tetapi kerana penipuan pilihan raya.
Adakah cukai dibatalkan masih kekal sehingga sekarang?
Hadi: Tol (jambatan) masih dimansuhkan sehingga hari ini, cukai pintu diambil balik dan kita berjanji kalau kita memerintah kita nak hapuskan balik cukai pintu dan cukai peniaga kecil.
Berlaku penipuan pada PRU 2004? Apa maksudnya?
Hadi: Sebagai contoh, di Parlimen Kemaman, undi kita meningkat dua peratus pada PRU 2004 berbanding 1999. Kita dapati ditambah pengundi baru 17,000 pada 2004. Fikirlah bagaimana kita nak halang 17,000 pengundi. Pertambahan pengundi secara tiba-tiba dari luar dan ada penemuan pengundi acap kali. Seorang boleh mengundi beberapa kali. Kita ada penemuan.
Penemuan ini dilaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau macam mana?
Hadi:Itu saya serah pada Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat. Laporan pada saya, ada perjalanan bergantung pada sistem kehakiman, sistem pentadbiran di negara kita sendiri. Bahkan banyak penemuan penyelewengan masa kita memerintah negeri dan kita tunggu endorsement Tun Salleh Abbas. Exco berkenaan ada pasukan dia dan membuat penyiasatan. Banyak penemuan salah laku dalam pentadbiran di mana Kerajaan Negeri tiada kuasa. Ini di bawah kuasa polis, di bawah kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kita tidak boleh. Ada pemindahan undi Kemaman di tempat lain di luar Kemaman; kawasan yang terdekat. Peningkatan berlaku di semua (tujuh) daerah, di semua (32 kawasan) Dun.
Bagaimana Pas mahu menangani dari segi peningkatan?
Hadi: Kita dapat penemuan undi yang tidak dikenali di kawasan masing-masing dan kita buat bantahan. Kita kena bayar RM50 untuk satu bantahan. Nak buat bantahan semua tidak mampu, banyak sangat. Melalui proses Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, proses undang-undang, proses pentadbiran, SPR pun ada, mahkamah pun ada. Walaupun tidak banyak, SPR ada melakukan tindakan.
Pendapat Datuk Seri mengenai kekuatan Pas di Terengganu sendiri; adakah tambah kerusi yang dimenangi?
Hadi: Kekuatan kita bertambah berdasarkan kepada sambutan pengundi-pengundi muda walaupun tidak dapat ditentukan jumlah mereka tetapi gelombang pengundi muda itu ada. Berdasarkan kepada beberapa aktiviti yang dianjurkan oleh Pemuda Negeri di seluruh negeri.
Sasaran kita yang pertama, kerusi yang sudah kita menang. Kedua, kerusi yang pernah kita menang dan kita menang dengan majoriti yang tipis, ketiga kerusi yang pernah kita menang dengan majoriti besar. Itu tiga peringkat. Pada tahun 80-an kita dengar ucapan Datuk Seri
sungguh berapi-api, tetapi sekarang ini tidak begitu. Apakah sebab Datuk Seri kecewa dengan perkembangan dalam parti dan negara atau kerana sudah terlalu lama dan banyak pengalaman, jadi tidak payah cakap berapi pun orang akan dengar, macam mana?
Hadi: Kalau kita tengok gunung berapi pun, yang terlalu lama tetap mengeluarkan baja yang baik (senyum). Kadang-kadang isu berlainan. Mungkin pada masa itu isunya hangat. Bila isu itu dah kurang, lain pula isunya, nada pun lainlah.
Topik kegemaran Datuk Seri nampaknya hudud. Hari ini dalam ceramah pagi di Masjid Rusila pun isu hudud juga yang Datuk Seri huraikan?
Hadi: Hari ini barangkali kebetulan. Dulu memang; dalam tahun 50-an 60-an. Kalangan yang menyanggah parti-parti Islam di seluruh dunia jadikan isu hudud untuk menakut-nakutkan umat Islam yang jahil dan bukan Islam. Padahal hudud ini hanya barangkali berapa peratus daripada hukum Islam yang banyak itu. Itu yang ditonjol dan kita terpaksa jawab. Padahal banyak lagi isu; ekonomi dan kemasyarakatan, yang ada dalam Islam.
Dalam isu hak asasi manusia, Islam mendahului Barat, begitu juga dalam segala teori yang lain, terlalu banyak.
Sistem kehakiman Islam mendahului segala-galanya dan banyak Barat ambil daripada Islam, dijadikan rujukan dalam undang-undang Barat sendiri, undang-undang antarabangsa dan undang-undang di peringkat nasional.
Tetapi hudud ditonjolkan tanpa suatu penjelasan, tanpa hikmah. Bagaimana melaksanakannya dan cara melaksanakan, orang tidak tahu. Padahal hudud ini ada dalam enam perkara sahaja, yang menjadi sepakat alim ulama dalam hukum kesalahan jenayah. Beribu-ribu kes lagi tak masuk dalam hudud.
Kita terpaksalah jawab pada masa itu, bermula daripada bekas Presiden Pas, Allahyarham Dr Burhanuddin Helmy, Datuk Asri Muda; kemudian pada tahun 60-an, dibawa isu kafir mengkafir. Saya terpaksa mewarisi isu kafir-mengkafir. Itulah ucapan berapi dalam tahun 70-an itu. Tahun 80-an isu debat dan sebagainya. Isu itu bawa pada muzakarah, akhirnya jadi perlahan. Hari ini tidak sebagaimana dulu. Ini satu perubahan.
Berkenaan solat Jumaat dua kariah di Terengganu?
Hadi: Solat Jumaat dua kariah bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia, termasuk di negara Arab sendiri. Ini berlaku kerana, yang pertama, kepadatan penduduk. Apabila penduduk padat, boleh buat sembahyang Jumaat di banyak tempat. Yang kedua, isu salah faham yang sepatutnya boleh diselesaikan, tapi tak boleh diselesaikan. Daripada mereka (orang Islam) tidak sembahyang, lebih baiklah mereka sembahyang. Pendekatan yang boleh diambil kemudian diuruskanlah selepas itu dengan cara yang baik. Masa kita (Pas) memerintah Terengganu dari 1999 ke 2004, kita telah berjaya sama ada membatalkan tempat dua Jumaat ini ataupun kita sahkan masjid yang tidak disahkan. Kita lihat kepada keadaan setempat. Ini yang berjaya kita buat.
Bagaimana dengan masjid yang tidak diiktiraf sebagai masjid?
Hadi: Itu bergantung pada keadaan setempat dan kita tidak boleh marah kepada penduduk setempat. Kadang-kadang ada imam-imam yang dilantik itu mencela hukum hudud. Ini bukan hukum Pas; ini hukum agama, kita tidak boleh nak kata yang bukan-bukan. Imam mengatakan kalau melaksanakan hudud, boleh potong tangan.
Cakap macam itu sedangkan dia imam masjid. Macam mana orang kampung nak buat imam pada orang macam itu? Ini bukan fasal Pas atau Umno, ini hukum Islam. Bukan masalah parti, ini kerana cakap. Tapi Alhamdulillah, cakap-cakap macam ini sudah reda sekarang.
Penggunaan dakwat dalam PRU13?
Hadi: Itu saya terima secara positif, tetapi bukan dakwat sahaja. Salah satu daripada yang penting adalah kebebasan media. Malam tadi saya tengok Internet, pilihan raya di Kuwait. Apa yang menarik, media elektronik beri tiap-tiap parti 10 minit untuk bersyarah. Bukan lama sangat. Tiap-tiap parti ada wakil. Saya masih ingat zaman Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman dulu; masa itu tiada TV, ada radio tahun 50-an dan 60-an; diberi 15 minit kalau tidak silap saya, kepada wakil-wakil parti untuk berucap melalui radio.
Di negara lebih maju lagi zaman sekarang, kita lihat diberi peluang dialog debat calon-calon presiden, calon Perdana Menteri boleh debat dalam TV. Wartawan boleh tanya, kalangan akademik boleh tanya, rakyat boleh tanya dan dia jawab, rakyat boleh nilai calon kepimpinan negara. Barulah pilihan raya itu adil.
Kalau dia jawab tak betul, rakyat hukum dia ataupun dia buat fitnah, rakyat hukum dia, melalui undang-undang boleh ambil tindakan, kita takut apa? Jadi kebebasan media sangat penting untuk pilihan raya yang adil.
Saya rasa kebebasan media lebih penting daripada celup dakwat. Tapi tak apalah, kita terimalah dakwat itu.
Datuk Seri rasa apa yang bebas sekarang ini?
Hadi: Saya rasa media yang cuba nak keluar daripada kepompong akan diluku kepalanya. Jadi terpaksa berhati-hatilah, termasuk Harakah lidah rasmi Pas sendiri. Dulu Harakah pernah dapat kebenaran diterbitkan satu kali seminggu, selepas itu Kerajaan beri dua kali seminggu; kemudian tarik balik menjadi satu kali seminggu; bagi dua kali seminggu balik. Kita menghadapi keadaan begitu. Itu surat khabar parti. Surat khabar yang tidak parti lagi berhati-hatilah.
Bagaimana dengan isu bekas Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang dipecat daripada parti itu dan timbulkan tanggapan bahawa dalam Pas ada parasit?
Hadi: Kita menghadapi isu-isu dalam Pas sejak awal Pas ditubuhkan. Tahun 1951 Haji Ahmad Puad keluar parti, Pas diambil alih oleh Jaafar Alias. Tahun 50-an, 60-an pernah Setiausaha Agung Pas, Osman Abdullah dan beberapa orang lagi keluar parti pada masa itu. Kita boleh melangsungkan perjuangan. Tahun 69 tidak banyak, tahun 70, kita ambil tindakan kerana tidak bersetuju Pas menyertai BN pada masa itu. Ada yang tubuh parti Imam, parti Islah. Sama ada didisiplinkan diri sendiri atau parti mendisiplinkan diri dia.Bila dia tubuh parti lain secara automatik keluar partilah. Parti bertindak pecat dia. Kita masuk BN tahun 1970. Kita pecat Ustaz Abu Bakar Hamzah kerana dia buat kenyataan yang bercanggah dengan dasar dan polisi parti. Dia juga suka menulis.
Oleh sebab kenyataan dia di luar landasan parti, maka kita bebaskan dialah. Itu caranya. Kalau dia duduk dalam parti, dia kena ikut apa yang polisi partilah. Kalau dia tak nak ikut, baik keluar. Ustaz Abu Bakar buat rayuan dan kita terima balik dalam tahun 80-an.
Sejarah yang azab. Terlibat dalam kejatuhan Kerajaan Pas Terengganu tahun 1961. Almarhum Ustaz Ahmad Azam, dalam menghadapi undi tidak percaya, dia tidak keluar parti, tetapi dia berkecuali, tidak undi sokong kerajaan pada masa itu. Ada krisis dalaman dan Pas ambil tindakan disiplin, pecat dia. Tahun 1961, kita pecat dan Ustaz Ahmad Azam minta jadi ahli balik, kita terima balik pada tahun 80-an.
Peristiwa Hasan Ali ini bukan baru bagi kita kerana dia buat kenyataan sendiri, bertindak sendiri-sendiri. Dia kena ikutlah polisi parti. Kalau dia nak buat cara sendiri, lebih baiklah dia di luar. Dengan sebab itu, kita bebaskan beliau. Itu perkara biasa sahaja.
Kalau Datuk Hasan kembali?
Hadi: Itu terpulang kepada dia. Saya tidak boleh kata apa-apa. Itu kepunyaan Majlis Syura Ulama.
Yang lambat lagi PRU13 itu, pasal apa?
Hadi: Saya dengar macam-macam. Antaranya saya dengar juga bahawa penyelarasan gaji perkhidmatan awam. Yang disebut di sini, pegawai yang tinggi terlalu mahal naik, dia yang rendah naik RM8 pun ada. Naik RM8 buat apa?.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment