2 Februari 2012
PERINGGIT – Hampir 50 pemandu bas henti-henti mogok tidak mahu memandu bas, semalam, kerana tidak berpuas hati dengan gaji ditawarkan PM Cultural & Tourism (PMCT) Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Kerajaan Negeri yang mengambil alih operasi bas di negeri ini bermula, semalam.
Tinjauan Sinar Harian di Terminal Melaka Sentral di sini, seawal jam 6.30 pagi semalam mendapati, kebanyakan mereka hanya duduk beramai-ramai dan tidak mahu memandu bas.
Hanya dilihat beberapa bas membawa penumpang ke terminal, selain membawa pelajar, hasil ihsan pemandu bas selepas ramai ibu bapa merayu meminta tolong menghantar anak mereka ke sekolah.
Rata-rata mereka berkata, selagi tawaran gaji pokok sebanyak RM510 sebulan tidak diteliti semula, mereka berkemungkinan akan meneruskan mogok atau berhenti kerja.
Mereka mendakwa, pendapatan baru itu jauh lebih rendah daripada sebelum ini iaitu sekitar RM2,000 sebulan.
Kaji semula gaji pokok
Pemandu bas, M Selvam, 48, berkata, gaji yang ditawarkan hasil pengambilalihan operasi itu sangat murah dan tidak memadai.
“Kita mahu makan apa dengan wang RM510 sebulan? Sudahlah terpaksa bangun jam 5 pagi dan kerja sampai ke malam, bawa nyawa orang lagi. Ini memang tidak patut.
“Pagi ini (semalam), saya bawa bas pun kerana tidak sampai hati apabila ibu bapa merayu minta tolong bawa anak-anak mereka ke sekolah,” katanya.
Seorang lagi pemandu, Abdul Karim Said, 53, berharap. pihak PMCT akan segera mengkaji semula gaji yang ditawarkan untuk mereka.
“Kena ada keputusan muktamad. Kami diberitahu boleh dapat gaji sehingga RM1,500 selepas campur pelbagai elaun. Tolong kaji semula gaji pokok ini,” katanya.
Pemandu bas, Sabri Mohamad, 40, pula berkata, dia yang sudah hampir 15 tahun memandu bas berasa amat terkilan dengan bayaran gaji baru itu.
“Kita mahu kerja tetapi kaji semula gaji yang diberikan. Dahulu sekitar RM2,000 kami boleh dapat tetapi kali ini memang susah sebab kos hidup terlalu tinggi,” katanya.
Mahu bayaran elaun
Semalam adalah hari pertama operasi bas henti-henti di bawah PMCT selepas Kerajaan Negeri mengambil alih 10 syarikat bas henti-henti yang sebelum ini mengumumkan akan menamatkan perkhidmatan akibat tidak mampu menanggung kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi.
Dalam pada itu, pemandu bas turut mengharapkan bayaran komisen dimansuhkan dan digantikan dengan bayaran elaun berikutan pendapatan antara bas adalah berbeza.
Terdahulu malam kelmarin, perkhidmatan bas turut tidak beroperasi berikutan penyerahan kunci pihak pengusaha kepada PMCT, jam 6 petang menyebabkan pemandu bas tidak bertugas.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment