Saturday, February 4, 2012

Saya tidak akan tunduk kepada tekanan - Shahrizat



Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil


SEPANG 3 Feb. - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) menegaskan beliau tidak akan tunduk terhadap sebarang desakan supaya melepaskan jawatan sebagai Ketua Wanita UMNO dan menteri Kabinet.

Mengenai kemungkinan untuk bertanding dalam pilihan raya pula, beliau berkata, soal tersebut bergantung sepenuhnya kepada keputusan dan kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Shahrizat yang baru pulang daripada mengerjakan umrah berkata, beliau menerima kekuatan baru untuk berdepan cabaran yang dihadapinya dan akan terus berusaha membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

"Saya menghormati Tan Sri Rafidah Aziz sebagai bekas pemimpin Wanita UMNO. Sebagai ketua pada hari ini, saya bagaimanapun perlu memastikan Wanita UMNO bersatu dan bersiap sedia menggerakkan jentera pilihan raya.

"Pelbagai cabaran yang dilalui tidak melemahkan saya, sebaliknya ia menguatkan semangat sebagai seorang ketua. Saya tidak akan lari daripada cabaran," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Baru-baru ini beberapa pihak termasuk Rafidah yang merupakan bekas Ketua Wanita UMNO meminta Shahrizat melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan.

Shahrizat sebelum ini bercuti rehat daripada menjalankan tugas sebagai menteri selama tiga minggu mulai 13 Januari bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadapnya berhubung isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang dikaitkan dengannya.

Shahrizat dijadualkan menyambung tugas sebagai menteri pada Rabu depan tetapi akan menghadiri aktiviti Wanita UMNO lebih awal iaitu esok.

Shahrizat menganggap apa yang menimpanya merupakan satu dugaan yang menguji keteguhan pendiriannya.

"Saya telah rasai betapa rakus pembangkang, kita tidak boleh biarkan pembangkang bertapak kerana ia akan membawa kehancuran kepada negara," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahimmengingatkan anggota pergerakan itu bahawa mereka mempunyai amanah dan tanggungjawab kepada parti mendahului kepentingan diri sendiri.

Kamalia, yang memaklumkan menerima beberapa pendapat berbeza dalam menangani isu Shahrizat, meminta anggota pergerakan itu agar menumpukan kepada gerak kerja pilihan raya dan memberi kesetiaan kepada Presiden parti.

"Secara individu sebagai ahli parti jika kita menjadi beban kepada parti maka kita perlu mengambil tanggungjawab mengutamakan kepentingan parti," katanya dalam satu kenyataanUtusan Malaysia Online - Politik:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment