10 peneroka tekad saman - Pahang - Sinar Harian:BANDAR TUN RAZAK – Seramai 10 peneroka di sini, tekad tidak akan menarik diri sehingga kes writ saman untuk mendapatkan ganti rugi dalam prosiding saman terhadap Felda dan Felda Palm Industri Sdn Bhd yang difailkan pada Disember 2010 selesai.
Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Suhaimi Said berkata, biarpun diugut dengan pelbagai ancaman, 10 peneroka terbabit tetap tidak mengubah pendirian mereka.
“Mengapa mesti takut, sedangkan mereka tidak melakukan jenayah. Apa yang mereka lakukan hanyalah untuk mendapatkan hak mereka kembali.
“Setelah mereka berjaya dan memperoleh keuntungan nanti, sudah tentu akan membuka mata lebih ramai peneroka supaya mengutamakan kepentingan dan hak mereka serta bertegas supaya tidak tertindas,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, terdapat cadangan memohon supaya 10 peneroka ini diambil tindakan undang-undang termasuk membuang mereka daripada senarai Felda.
“Apa yang boleh disimpulkan, sesetengah pihak itu ibarat ‘lebih kuah dari nasi’. Jangan ingat dengan mudah sahaja mereka ini boleh dikeluarkan, daripada senarai Felda,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, PKR berjaya mengumpulkan lebih kurang 10,000 tandatangan peneroka Felda di seluruh negeri ini bagi membuat bantahan terhadap penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) dalam Bursa Saham.
“Dari hari ke hari, kami menerima perkembangan yang bagus. Malah sebelum ini kami ada membuat kutipan di Felda Chini, Pekan dan berjaya mengumpulkan sebanyak 300 tandatangan.
“Seperti mana yang diberitahu, kami ingin mengumpul 100,000 tandatangan peneroka di atas sehelai kain rentang putih sebagai satu bentuk memorandum bantahan yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Mac nanti,” katanya.
Menurut Suhaimi, gerakan tersebut yang dinamakan sebagai gerakan ‘Bantah’ di mana mereka akan mengadakan perarakan menyerah memorandum bantahan tersebut dari Masjid Putrajaya menuju ke Pejabat Perdana Menteri.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment