Friday, March 9, 2012

Padah keangkuhan bekas imam

Kosmo! Online - Negara:


HOSLAN pernah dilantik sebagai imam ratib di Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.


PUTRAJAYA - Seorang bekas imam yang bertindak membaling sepasang selipar ke arah tiga hakim dihukum penjara selama setahun oleh Mahkamah Persekutuan semalam setelah didapati bersalah menghina mahkamah.
Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mempengerusikan tiga panel hakim itu berkata, hukuman berkenaan adalah setimpal dengan tindakan Hoslan Hussin, 46, yang menjatuhkan maruah institusi kehakiman.
Beliau berkata, kesalahan yang dilakukan Hoslan adalah serius, tidak boleh dibiarkan serta perlu dibendung.
"Kamu sebagai pesalah, jika tidak dikenakan tindakan akan boleh menggugat kuasa mahkamah dan boleh menjatuhkan maruah mahkamah. Apa-apa kritikan yang hendak dibuat terhadap hakim hendaklah dibuat dengan munasabah dan baik, bukan dengan cara mengugut dan maki hamun.
"Mahkamah yang ada bidang kuasa perlu dihormati oleh semua pihak. Perlu dinyatakan bahawa tindakan prosiding yang diambil dalam kes ini (menghina mahkamah) bukan untuk melindungi maruah kami secara peribadi tetapi adalah untuk melindungi maruah dan kewibawaan mahkamah yang mulia ini dalam sistem kehakiman di negara ini.
"Mahkamah perlu menjatuhkan hukuman setimpal dan berbentuk pencegahan untuk kepentingan awam," kata Hakim Zulkefli.
Hoslan yang pernah menjadi imam ratib Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan dekat Kuala Lumpur bertindak membaling selipar ke arah ketiga-tiga panel hakim ketika mahkamah bersidang di Mahkamah Persekutuan I, Istana Kehakiman di sini antara pukul 10.15 pagi dan pukul 10.30 pagi pada 22 Februari lalu.
Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Suriyadi Halim Omar menyifatkan tindakan Hoslan sebagai angkuh, biadap, riak, ganas dan langsung tidak menghormati mahkamah.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment