AMPANGAN - Seorang pesara kerajaan kini terlantar di rumahnya di Taman Rumah Rakyat Sikamat 2, setelah disahkan menghidap darah beracun.
Abdul Aziz Abas, 70, kini hanya bergantung kepada bantuan orang lain untuk bergerak dan menguruskan diri ekoran penyakitnya itu.
Isterinya, Aminah Asad, 56, berkata, suaminya kerap dimasukkan ke hospital dalam tempoh enam bulan bagi merawat penyakitnya.
Menurutnya, doktor sahkan darah suaminya beracun akibat memakan ubat yang dibeli dari kedai.
“Doktor beritahu ubat-ubat yang dibeli mengakibatkan darahnya beracun. Suami saya mengambil ubat itu tanpa pengawasan dan nasihat doktor. Ubat-ubat tradisional yang diambil suami saya menjadikan dirinya cergas dan boleh melakukan pelbagai kerja, sebab itulah dia tidak berhenti memakannya sehinggalah jatuh sakit,” katanya.
Aminah berkata, sebelum ini keadaan suaminya tidaklah begitu teruk sehinggalah pihak hospital mengambil sampel air tulang belakang.
“Setelah ujian itu dilakukan, suami tidak lagi boleh bergerak cergas dan terlantar di rumah sejak enam bulan lalu,” katanya.
Abdul Aziz dan Aminah mempunyai lima anak berusia 25 tahun hingga 36 tahun di mana dua daripadanya merupakan ibu tunggal.
Difahamkan, hidup mereka bergantung kepada pencen Abdul Aziz berjumlah RM500 sebulan selain anak keempatnya yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan.
Aminah berkata sejak terlantar, wang banyak dihabiskan membeli ubat dan lampin pakai buang yang dibeli dengan harga RM10 untuk lapan keping serta hanya bertahan selama sehari.
“Dalam sebulan, saya mengeluarkan belanja sebanyak RM300 hanya semata-mata untuk membeli lampin. Oleh kerana mahu berjimat, suami saya juga jarang makan kerana tidak mahu terlalu kerap membuang air,” katanya.
Katanya, sebelum ini mereka hanya mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM500.
“Jika boleh, saya mahu meminta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi pesakit terlantar. Jika dapat, wang berkenaan boleh digunakan membeli ubat dan lampin pakai buang untuk suami saya,” katanya.
Sementara menurut Wanita Umno Cawangan Rumah Rakyat Sikamat 2, Nora Jais, pihak mereka akan memberi dua bantuan setiap sebulan dalam membantu golongan kurang bernasib baik di kawasan itu.
Nora berkata, pihaknya akan mengenal pasti dua individu yang akan dibantu setiap bulan.
“Program ini diadakan setiap bulan di mana kita akan mencari mereka yang bermasalah untuk dibantu. Tidak kira sama ada sakit terlantar, miskin dan sebagainya. Menerusi kaedah ini, kita akan mengumpul dana dan mencari bantuan yang boleh diberikan kepada mereka,” katanya.
Hadir sama, wakil Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Fadilah Md Yusof.
Katanya, pihaknya akan membantu keluarga pesara terbabit bagi mendapatkan bantuan selayaknya.
Sebelum itu, Wanita Umno berkenaan turut melawat rumah ibu tunggal dan pesakit strok di kawasan berhampiran.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment