Friday, March 9, 2012

31 tahun tiada bekalan elektrik

31 tahun tiada bekalan elektrik - Kelantan - Sinar Harian:
Penduduk-bergambar-mendesak-kerajaan-percepat-bekalan-elektrik.
GUA MUSANG – Seramai 120 penduduk di tiga kampung pedalaman daerah ini, kecewa apabila penantian bekalan elektrik sejak 31 tahun lalu masih belum dilaksanakan sehingga sekarang.

Kampung terbabit termasuk Kampung Kuala Relai, Kuala Aring dan Jeram Tok Seh yang terletak di seberang Sungai Relai kira-kira lima kilometer dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir 1.

Ketika meluah kekesalan kepada Pengurus Pejabat Operasi RKT Kesedar Lebir 1, Mohd Fadhli Mat Hussin semasa berkunjung ke kampung terbabit, kelmarin, mereka menganggap kampung tersebut seperti dianaktirikan kerajaan.

Mereka mahu masalah yang dihadapi dibawa ke pengetahuan pihak yang bertanggungjawab memandangkan jaraknya cuma lima kilometer dari RKT Kesedar Lebir 1.

Seorang penduduk, Jusoh Mohd Zain, 43, berkata, kampung terbabit adalah kampung tradisional membabitkan 27 rumah yang masih belum mempunyai kemudahan elektrik.

Berikutan itu, katanya, penduduk amat sukar untuk menggunakan pelbagai kemudahan perkakas elektrik, di samping tumpuan anak-anak kepada pelajaran kerana terpaksa menggunakan pelita minyak tanah setiap hari.

Menurutnya, sesetengah keluarga pula terpaksa menumpang di rumah ahli keluarga di RKT Kesedar Lebir 1 bagi membolehkan anak-anak mereka belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir.

“Anak-anak saya tak suka tinggal di kampung, kerana malam menyusahkan mereka mengulang kaji pelajaran di rumah yang ditugaskan guru-guru sekolah.

“Lagipun setiap pagi dan petang, saya perlu menyeberang sungai menggunakan rakit buluh untuk menghantar serta mengambil anak di sekolah, melalui jalan berlumpur sejauh enam kilometer,” katanya.

Jusoh berkata, berikutan itu dia terpaksa membuat keputusan menumpang di rumah sanak saudara di RKT Kesedar Lebir1 yang lengkap dengan bekalan elektrik serta tidak lewat pergi ke sekolah.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment