hasan-ali
SHAH ALAM -  Seorang penyokong Barisan Nasional (BN) hari ini membidas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali yang membangkitkan perkara Datuk Dr Hasan Mohamed Ali membelanjakan RM300,000 mengubahsuai pejabatnya ketika menjadi exco kerajaan negeri dua tahun lepas.

Datuk Subahan Kamal (BN-Taman Templer) mencelah ucapan Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor bertanyakan  mengapa ia ditimbulkan sekarang, tidak semasa Hasan masih Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri.             

Hasan (Bebas-Gombak Setia) dipecat daripada Pas awal Januari lepas setelah beliau dikatakan membuat pelbagai kenyataan yang bercanggah dengan pendirian Pas.             

Menurut Subahan, perkara itu dibangkitkan kerana wakil Gombak Setia itu telah dipecat.             

"Dua tahun lepas Barisan Nasional pernah membawa isu ini tetapi tidak diendahkan oleh kerajaan negeri, tetapi apabila Hasan bertukar haluan perkara itu dibangkitkan semula," katanya.              

Mohamed Azmin yang membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor pada perasmian sidang Dewan itu, menjawab bahawa siasatan dilakukan secara audit dalaman. – Bernama