Shahrizat Abdul Jalil
KUALA LUMPUR - Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini menegaskan bahawa Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan kekal sebagai Ketua Wanita parti itu meskipun ada pihak dalam parti itu mahu beliau berundur.
Najib yang juga Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) mahu Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim, yang menggesa Shahrizat berundur sebagai ketua pergerakan itu dan pengkritik lain agar berganding dengan anggota Kabinet itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Beliau bercakap demikian kepada pemberita selepas taklimat pada Perhimpunan Wanita Umno di PWTC hari ini.
Najib berkata, pengunduran Shahrizat sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah keputusan yang perlu dihormati.
"Shahrizat telah ambil tanggungjawab moral secara terhormat untuk lepaskan jawatan sebagai menteri biarpun tiada bukti berhubung dakwaan yang dikenakan ke atasnya sebelum ini.
"Jadi, berkenaan jawatan Ketua Wanita Umno, selagi tiada bukti, tiada sebab mengapa kita perlu suruh dia letak jawatan itu.
"Tambahan pula, jawatan itu dipilih oleh ahli," katanya.
Bercakap pada sidang media, Najib berkata, pertemua bersama kira-kira 8,000 ahli Wanita Umno hari ini, antara lain bagi memastikan seluruh Pergerakan Wanita bekerja keras untuk menghadapi PRU13.
"Kesemua yang hadir melahirkan kesanggupan untuk pastikan Barisan Nasional (BN) capai kemenangan dalam PRU nanti.
"Mereka juga berikrar untuk mendokong tanggungjawab sebagai ahli parti serta menyokong Shahrizat sebagai Ketua Wanita," katanya.
Dalam pada itu, Kamilia pula berkata, beliau akan bekerjasama dengan Shahrizat demi memastikan kemenangan BN dalam PRU13.
Katanya, kenyataan sebelum ini hanya berdasarkan pada pandangan dan luahan dari akar umbi dan beliau hanya bertindak sebaga penyampai mesej.
Shahrizat baru-baru ini mengumumkan beliau akan melepaskan jawatan sebagai anggota Kabinet apabila tempoh khidmatnya sebagai anggota Dewan Negara berakhir 8 April ini.