2012/04/10
Beliau bagaimanapun hanya sempat berada seketika di atas podium itu untuk menunjukkan kertas soalannya kepada Speaker sebelum diheret keluar oleh pengawal keselamatan.
Speaker, Datuk R Ganesan kemudian memerintahkan Ming Kai keluar daripada dewan sehingga selesai persidangan.
Terdahulu, ketika sidang DUN mahu memulakan sesi soal jawab kira-kira jam 10 pagi, Ming Kai bangun mempersoalkan kenapa soalan lisannya tiada dalam senarai soalan yang akan dijawab pada sesi soal jawab sepanjang empat hari sesi itu berlangsung termasuk pada hari terakhir semalam.
Ganesan kemudian menjelaskan soalannya terpaksa ditolak mengikut Perkara 23(1) Perintah Tetap DUN Perak kerana ada menyebut nama individu.
Ming Kai bagaimanapun menafikan ada menyebut nama individu dalam soalannya dan terus meminta penjelasan daripada Ganesan.
Selepas kira-kira 10 minit tergendala, Ganesan mengarahkan sesi soal jawab diteruskan tetapi Ming Kai terus berdiri dan mempersoalkannya walaupun ketika itu Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sedang berdiri menjawab soalan lisan pertama oleh Datuk Mohd Najmuddin Elias al-Hafiz (BN-Batu Kurau).
Berikutan itu, Zambry bertanya siapa yang sepatutnya berdiri dan berucap ketika itu. Ganesan kemudian meminta Zambry meneruskan jawapannya.
Tidak puas hati pertanyaannya tidak dihiraukan, Ming Kai berjalan ke podium membawa sehelai kertas dipercayai mengandungi soalan lisan.
Sebaik menghampiri Speaker, Ming Kai menunjukkan kertas itu kepada Ganesan dalam keadaan marah sebelum Bentara Dewan dan pengawal keselamatan menghalangnya daripada terus berada atas podium.
Beberapa ADUN penyokong kerajaan kemudian kedengaran berkata 'ini perbuatan kurang ajar' dan `tidak ada adab' terhadap Ming Kai.
Ming Kai pada sidang media kemudian mendakwa, ia bukan kali pertama soalannya ditolak kerana pada sesi DUN lalu, beberapa soalannya ditolak sehingga tidak dapat mengawal kemarahannya.
Ganesan pada sidang medianya pula berkata, beliau mengarahkan Ming Kai keluar mengikut Peraturan 23(1) Perintah Tetap DUN berikutan soalannya tidak boleh dijawab kerana terikat dengan rahsia kerajaan negeri.
Zambry pula menyifatkan perbuatan Ming Kai tidak wajar dan mengejutkan semua pihak.
Katanya, soalan Ming Kai terlalu terperinci termasuk ada yang terikat di bawah Akta Rahsia Rasmi.
No comments:
Post a Comment