Tuesday, April 10, 2012

Mualaf tuduh isteri nusyuz, tuntut RM1j

KUALA LUMPUR: Tindakan isterinya yang keluar rumah tanpa izin, menyebabkan seorang mualaf memfailkan permohonan nusyuz terhadap wanita itu di Mahkamah Rendah Syariah, di sini semalam, serta menuntut ganti rugi RM1 juta kerana mendakwanya melanggar perjanjian yang dipersetujui sebelum berkahwin, dua tahun lalu.
Plaintif, Muhamad Sem Yap Abdullah, 39, memfailkan permohonan itu pertama kali pada 16 Januari lalu dengan menamakan isterinya, Norlysalfarina Zainal, 30, sebagai defendan.

Bagaimanapun, plaintif yang diwakili peguam syarie Othman Wahab hadir ke mahkamah semalam untuk membuat pindaan terhadap tuntutan itu.

Permohonan itu didengar di hadapan Hakim Syarie Ab Malek Awang yang seterusnya menetapkan sebutan kes itu pada 21 Mei ini.

“Mahkamah menetapkan 21 Mei ini untuk sebutan bagi dua perkara iaitu bagi mengesahkan writ saman disampaikan kepada defendan selain untuk memutuskan sama ada kes itu wajar dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk bicara,” kata Othman. Plaintif yang bekerja sebagai pembantu arkitek di sebuah firma sebelum ini sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki, namun bercerai pada 2005 manakala ia adalah perkahwinan pertama bagi defendan.

Permohonan nusyuz yang dibuat mengikut Seksyen 59(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (Akta 303) itu meminta supaya Norlysalfarina kembali taat terhadap suaminya.


Sekiranya defendan enggan taat, mahkamah akan mensabitkan wanita itu nusyuz dan dengan itu, dia tidak boleh meminta sebarang nafkah edah, mutaah dan nafkah sebagai isteri sepanjang meninggalkan rumah kelamin.

Menurut plaintif, dia mengenali defendan menerusi laman sosial facebook dan pada ketika itu defendan bertugas di Terengganu.
Dalam penyata tuntutan pindaan itu, Muhamad Sem mendakwa Norlysalfarina yang bertugas sebagai jururawat di Bahagian Kecemasan di sebuah hospital kerajaan keluar dari rumah mereka pada 10 Januari 2012 tanpa izinnya dan tidak pulang ke rumah sehingga sekarang.

Plaintif beberapa kali menelefon dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada defendan, namun tiada jawapan lalu plaintif membuat beberapa laporan polis.

Dalam penyataan itu, plaintif berkata, dia amat terseksa kerana sebelum ini isterinya berjanji akan hidup bersamanya.

Plaintif yang memeluk Islam pada 1994 turut mengemukakan salinan surat akujanji yang ditandatangani defendan dan seorang saksi pada 7 November 2010 yang menyatakan defendan berjanji untuk menjadi isteri solehah dan setia selama-lamanya kepada plaintif.

Defendan turut bersetuju sekiranya memungkiri janji itu atau melanggar mana-mana satu undang-undang keluarga Islam Malaysia, dia perlu membayar ganti rugi RM1 juta kepada plaintif.

Oleh yang demikian, plaintif memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya defendan atau waris defendan atau individu yang menghasut defendan supaya tidak mentaati plaintif, membayar RM1 juta kepada plaintif.

Plaintif juga menuntut mahkamah mengeluarkan perintah tiada nafkah perlu dibayar kepada defendan selama defendan keluar rumah dan kos perbicaraan ditanggung oleh defendan.

Pasangan itu bernikah pada 12 November 2010 di rumah keluarga wanita itu di Kerteh, Terengganu dengan hantaran RM15,000, tidak mempunyai cahaya mata.

No comments:

Post a Comment