10 April 2012
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu ada kemungkinan penyelesaian dicapai dalam saman malu yang dikemukakan putera Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra terhadap Malay Mail dan dua orang yang lain.
Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan Jumaat ini bagi pengurusan kes dan memberi peluang kedua-dua pihak terlibat memberitahu mahkamah hasil yang dicapai dalam penyelesaian yang dicadangkan itu.
Peguam A S Dhaliwal, yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry, memberitahu pemberita bahawa syarat penyelesaian itu termasuklah permohonan meminta maaf oleh defendan yang akan disiarkan dalam media perdana.
Dhaliwal berkata jika mereka gagal memenuhi syarat berkenaan, perbicaraan akan dijalankan pada 2 Mei.
Beliau berkata, plaintif akan memanggil 15 saksi termasuk ibu kepada Tengku Muhammad Fakhry, Raja Perempuan Kelantan.
Sementara itu, peguam yang mewakili akhbar berkenaan, Mohd Zaharudeen Harun mengesahkan mereka 'sedang berusaha' mencari kemugkinan suatu peyelesaian.
Tengku Muhammad Fakhry mengemukakan saman pada 11 Nov tahun lepas dengan menamakan Malay Mail Sdn Bhd sebagai defendan pertama dan penerbit The New
Straits Times Press (M) Bhd, ketua editor Yushaimi Maulud Yahya dan pemberita Marhalim Abbas selaku defendan kedua, ketiga dan keempat.
Dalam pernyataan tuntutannya putera raja itu mendakwa bahawa defendan-defendan berkenaan bertanggungjawab menyiarkan satu artikel dalam Portal Berita Malay Mail pada 5 Mei 2010, yang membahayakan reputasi, kedudukan dan kerjaya beliau.
Selain menuntut ganti rugi, putera raja itu memohon supaya disiarkan permohonan meminta maaf, satu injunksi melarang ulangan siaran artikel, ganti rugi contoh dan kos lain yang dianggap bersesuaian oleh mahkamah. – Bernama
No comments:
Post a Comment