Tuesday, May 15, 2012

100 gagal dapat durian runtuh

100 gagal dapat durian runtuh - Kelantan - Sinar Harian:

100 gagal dapat durian runtuh
Nosuki berucap pada majlis Sejahtera Peneroka Bersama Pemimpin di Felda Aring 1.
GUA  MUSANG - Seramai 3,015 daripada 3,115 peneroka di 11 Rancangan Tanah Felda di Kelantan, dijangka selesai menerima habuan durian runtuh untuk peringkat pertama, khusus kepada peneroka membabitkan perbelanjaan RM15.075 juta dalam tempoh minggu ini.

Daripada jumlah itu, seramai 100 peneroka yang menolak penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) kerana enggan menandatangani surat pemilikan saham menerusi borang biru (BlueForm), turut gagal mendapat habuan durian runtuh itu.

Pengurus Besar Felda Wilayah Gua Musang, Norsuki Mutapha berkata, penyampaian habuan durian runtuh itu terpaksa disegerakan mengikut arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuat pengumuman mengenai perkara itu 8 Mei lalu.

 Beliau berkata, sebaik selesai pengagihan itu, akan disusuli pula dengan pengagihan habuan durian runtuh kepada isteri peneroka yang turut membabitkan RM5,000 seorang dengan perbelanjaan RM15.075 juta.

 “Mengenai 100 peneroka yang gagal menandatangani surat persetujuan pemilikan saham borang biru, akan diteliti semula apabila mereka sedar mengenai keperluan itu dan memohon untuk menandatangani surat terbabit.

“Kita boleh pertimbangkan kepada mereka, tetapi dengan banyak syarat, termasuk memohon maaf kepada pihak pengurusan rancangan tanah berserta dengan pengurusan Ibu Pejabat Felda dan sokongan wakil rakyat tempatan,” katanya ketika berucap pada majlis Sejahtera Peneroka Bersama Pemimpin di Dewan Orang Ramai Felda Aring Satu, dekat sini, petang semalam.

Pada majlis itu, seramai 167 daripada 173 peneroka di rancangan tanah itu, menerima habuan durian runtuh RM5,000 seorang yang disampaikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.

Norsuki berkata, bagi habuan generasi kedua Felda pula, akan diagihkan selepas itu dan beliau berharap mereka perlu bersabar kerana tetap akan menerimanya sebagaimana yang dijanjikan.

Katanya, beliau turut terkilan dengan sikap sesetengah peneroka Felda yang termakan hasut pihak tertentu, hingga menolak segala tawaran yang diberikan kerajaan dan Pengurusan Felda.

Malah, beliau turut tersinggung kerana ada peneroka tersebut yang memaki hamun pegawai Felda, yang menuduh bersekongkol dengan kerajaan untuk menjual tanah ladang yang mereka usahakan selama ini.

 “Mereka langsung tidak menerima penjelasan kita berhubung perkara itu kerana penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia tidak sedikit pun membabitkan tanah yang diusahakan mereka, sebaliknya ladang Felda Plantation,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment