Sunday, May 6, 2012

Bersih 3.0: Dakwaan Najib tidak logik, kata Ambiga

Bersih 3.0: Dakwaan Najib tidak logik, kata Ambiga - Politik - Sinar Harian:

ambiga
Ambiga
SHAH ALAM  –  Datuk S. Ambiga menyindir Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan perhimpunan Bersih 3.0 sebagai cubaan menggulingkan kerajaan sedangkan anggota Kabinetnya sendiri sebelum ini mengatakan perhimpunan itu tidak mengancam keselamatan negara.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0 itu berkata, sebaliknya tindakan Najib sebagai pemimpin nombor satu  amat mengecewakan dengan mengatakan tindakan peserta perhimpunan cuba menjadikan Dataran Merdeka sebagaimana Dataran Tahrir.

“Adakah perkara ini tidak penting?" kata beliau kepada Sinar Harian Online.

“Kenyataan beliau juga amat mengejutkan kerana Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sendiri mengakui pihaknya (perhimpunan Bersih 3.0) bukanlah satu ancaman keselamatan,” katanya lagi.

Ambiga berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Najib  yang mengatakan perhimpunan Bersih 3.0 yang mendapatkan sokongan pertubuhan bukan kerajaan dan kepimpinan pembangkang di Kuala Lumpur, Sabtu lepas adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi sistem demokrasi.
Perdana Menteri berkata, tindakan itu menunjukkan pihak terlibat tidak menghormati kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi proses yang sah.

Ujar Ambiga, pihaknya sentiasa berpegang kepada satu perkara iaitu menuntut pilihan raya yang bebas dan adil seperti yang dituntut oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Satu-satunya cara kita mahu menolak seorang wakil rakyat adalah melalui peti undi. Bagaimana ini boleh berlaku jika ketua Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri adalah seorang ahli Umno?” ujar Ambiga lagi.

Mengulas isu sama, Ambiga berkata, pihaknya menggesa supaya jawapan mengenai keganasan polis dikemukakan tetapi sehingga kini pihaknya masih tidak mendapat apa-apa respons.

Sehubungan itu, Ambiga mendakwa, bukan Bersih yang menyebabkan keganasan tetapi tindakan beberapa anggota polis melepaskan tembakan gas pemedih mata yang pertama adalah penyebab kepada insiden buruk itu.

No comments:

Post a Comment