Sunday, May 6, 2012

Poster hina Mat Sabu tersebar

Poster hina Mat Sabu tersebar - Melaka & NS - Sinar Harian:

Poster hina Mat Sabu tersebar
Noranif menunjukkan laporan polis yang dibuat Pas Kawasan Jelebu
KUALA KLAWANG - Pas Kawasan Jelebu ­semalam membuat laporan polis ­berhubung penyebaran poster menghina Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu.

Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Jelebu, Noranif Selamat berkata, beliau ­merupakan individu pertama yang mengesan kewujudan poster berkenaan.

Menurutnya, dia ­dalam perjalanan ke lokasi ­ceramah Mat Sabu di Kampung Jambatan Serong dan terjumpa poster wajah Mat Sabu yang ditampal di pokok berhampiran.

“Setelah disiasat, didapati poster ini bukan sahaja ­ditampal di pokok, malahan turut diedarkan di kawasan masjid dan pondok bas di ­sepanjang Jalan Seremban - Kuala Klawang.

“Apa yang menyedihkan poster ini disunting menggunakan wajah Mat Sabu yang berbadan anjing selain turut tertera kata-kata menghasut orang ramai.

“Malah gambar tiga ­bintang turut diletakkan di poster berkenaan. Perbuatan ini sangat biadap dan menghina pemimpin Pas,” katanya.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Klawang bagi menggesa pihak berkuasa mencari dalang di ­sebalik poster berkenaan.

Noranif berkata, Pas kawasan Jelebu meminta individu bertanggungjawab agar tampil memohon maaf dan menarik semula poster berkenaan.

“Sekiranya mereka ­tidak berpuas hati dengan kepimpinan Pas, mereka boleh berjumpa dengan kita dan menyelesaikannya.

“Kita turut menggesa ­pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan menanggalkan poster terbabit,” katanya.

Katanya, kejadian ini pertama kali berlaku dan kedatangan Mat Sabu untuk memberi ceramah di Jelebu sebelum ini tidak diganggu oleh sebarang provokasi.

“Sebelum ini Pas Jelebu hanya diganggu provokasi ­risalah mengenai video lucah pemimpin pembangkang yang diedarkan di masjid.

“Namun begitu kami tidak mengambil sebarang tindakan namun kali ini ia kami perlu membuat laporan polis kerana ia melampaui batas,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, poster berkenaan turut melabelkan Mat Sabu sebagai tali barut komunis dan menghasut bekas perajurit untuk menentang pemimpin itu.

“Saya merupakan bekas perajurit dan perbuatan menghasut ini tidak seharusnya berlaku kerana Malaysia adalah negara demokrasi dan saya berhak memilih parti mana untuk disokong,” katanya.

No comments:

Post a Comment