Wednesday, June 27, 2012

MEMORANDUM GABUNGAN PROFESIONAL TUNTUT ROYALTI, PENDARATAN MINYAK DAN GAS KE NEGERI KELANTAN

Berikut disiarkan Isi-Kandung Memorandum yang telah diserahkan oleh Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (ROYALTI) kepada Dato' Paduka Haji Husam Musa (Wakil Kerajaan Negeri Kelantan) ketika pra-Himpunan Royalti: "Menjunjung Titah KDYMM Sultan Kelantan, Tuanku Sultan Muhammad ke-V".

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

MEMORANDUM GABUNGAN PROFESIONAL TUNTUT ROYALTI, PENDARATAN MINYAK DAN GAS KE NEGERI KELANTAN (ROYALTI) MENGENAI ISU TUNTUTAN ROYALTI, PENDARATAN MINYAK DAN GAS KE NEGERI KELANTAN.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh;
Yang Amat Berhormat Dato’ Bentara Setia;

Dengan hormatnya, ini adalah MEMORANDUM kepada Kerajaan Negeri Kelantan berkaitan dengan isu Tuntutan Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan. Bahawa isu Pengeluaran Petroleum sebagai Hasil Bumi Negeri Kelantan adalah satu isu yang amat serius dan harus diselesaikan secara melampaui Batasan Kepentingan Politik yang sempit.

Pertama; Kami mewakili NGO-NGO Negeri Kelantan mengucapkan Jutaan Terima Kasih diatas kesungguhan Pihak Kerajaan Negeri Kelantan dalam memikul Amanah dan Tanggungjawab yang telah diberikan oleh Majoriti Rakyat Negeri Kelantan terutamanya didalam isu Tuntutan Royalti Minyak dan Gas Negeri Kelantan yang telah dinafikan oleh PETRONAS.

Kami juga ingin mengucapkan Tahniah kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana telah mengambil tindakan bijak, membawa isu Tuntutan Royalti Minyak dan Gas Negeri Kelantan untuk dibicarakan didalam Mahkamah yang Sah mengikut lunas Undang-Undang yang telah ditetapkan mengikut Perlembagaan Negara Malaysia yang kita cintai.

Kami percaya, Majoriti Rakyat Negeri Kelantan sentiasa memberi sokongan Padu yang Tidak Berbelah bagi atas usaha Kerajaan Negeri Kelantan dalam isu Tuntutan Royalti Minyak dan Gas Negeri Kelantan dan sokongan itu dapat dilihat hari ini dan juga melalui Kempen mengumpul Tandatangan Sokongan kepada Tuntutan Royalti Minyak dan Gas Negeri Kelantan yang telah kami jalankan sebelum ini yang setakat ini telah berjaya mengumpul hampir 70,000 tandatangan Rakyat Negeri Kelantan Pelbagai lapisan Masyarakat dan Umur.

Kedua; Seperti yang dimaklumi oleh Pihak Kerajaan Negeri, Tanah Tumpah Darah kita, Negeri Kelantan Darul Naim yang lebih dikenali sebagai “Serambi Mekah” adalah sebuah Negeri yang kaya Buminya baik di Daratan yang penuh dengan Sumber Alam Semula jadi termasuk Mineral dan Lautannya yang penuh dengan Galian Minyak dan Gas.

Perairan Negeri Kelantan menyimpan sebanyak 17 Trillion Gas Asli yang pada masa ini sudah mula diterokai dan dituai hasilnya oleh Syarikat Carigali Minyak Malaysia PETRONAS semenjak awal 1980-an dan setakat hari ini, 5 blok yang kaya dengan Minyak Mentah, Gas Asli dan Condensate telah ditemui iaitu dari Blok MTJDA (Malaysia – Thailand Joint Development Area), PM301, PM302, PM325 dan PM326.

Pihak kami ingin mengambil contoh Negeri Sabah, Sarawak dan Terengganu yang juga dianugerahkan oleh Allah dengan Hasil Bumi yang bukan sedikit seperti juga Negeri Kelantan. Masing-masing Negeri tersebut dikenali sebagai Negeri Pengeluar Minyak dan Gas dan masing-masing Negeri tersebut juga diberi kelebihan mempunyai lokasi Pendaratan Minyak dan Gas yang dikeluarkan dari Perairan Negeri masing-masing ke Daratan Negeri masing-masing. Malangnya ini tidak berlaku kepada Tanah Tumpah Darah kita Negeri Kelantan yang kita sayangi.

Merujuk kepada apa yang berlaku semasa Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Dewan Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-12, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke-V telah bertitah;

“Beta berharap, Gas ini dapat didaratkan di Negeri ini kerana Kelantan telah menyediakan Zon Industri Petrolium di Bachok seluas 4000 ekar sejak tahun 1990-an lagi”

Kami dengan ini Menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V menyokong sepenuhnya Hasrat dan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke-V supaya Hasil Bumi yang disedut dari Perairan Negeri Kelantan didaratkan di Negeri ini supaya Manfaatnya dapat dinikmati oleh Seluruh Rakyat Negeri Kelantan yang amat-amat kita sayangi dan cintai.

Kami juga berharap supaya pihak Kerajaan Negeri Kelantan lebih bersungguh dalam membuat Tuntutan Pendaratan Gas di Negeri Kelantan supaya Hasil dan Manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh Rakyat Negeri Kelantan dari Pelbagai Golongan, Kaum, Bangsa, Agama dan peringkat umur.

Pihak kami mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Kelantan menubuhkan satu Jawatankuasa Tuntutan Pendaratan Gas yang dianggotai oleh Pelbagai Profesional dalam bidang berkaitan bagi mengkaji kesan-kesan Sosio-Politik keatas Negeri Kelantan sekiranya Hasil Bumi dari Perairan Negeri Kelantan didaratkan di Negeri Kelantan dan hasil kajian tersebut perlu dibentangkan kepada Rakyat Kelantan melalui apa sahaja cara sebagai bahan umum supaya seluruh Rakyat Negeri Kelantan dari Pelbagai peringkat lebih faham akan Nikmat dan Manfaat yang akan sama-sama kita berkongsi di kemudian hari Hasil dari Perut Bumi Negeri Kelantan sendiri.

Ketiga; Kami juga mencadangkan supaya Plak Royalti yang telah ditandatangani oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V dibuat salinan, digantung dan dipamerkan di permis-permis Kerajaan sebagai simbolik Menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kelantan.

Wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Allahu Akhbar! Allahu Akhbar! Allahu Akhbar!

Memorandum ini bertarikh 26hb. Jun, 2012

…………………………
Haji Nazeri bin Deraman
Pengerusi Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (ROYALTI)
 —

No comments:

Post a Comment