LABIS 27 Jun - Tiga beranak tiada pilihan dan terpaksa menghuni sebuah pondok buruk yang berlantaikan papan terbuang dan berdinding zink di Kampung Sawah Baru, dekat sini.
Mereka tidak mampu membina kediaman baru selepas rumah asal musnah dilanda arus deras ketika banjir besar awal tahun lalu.
Pasangan Razali Aziz, 47, dan Mee Aenang, 50, terpaksa membina pondok papan daripada terbuang dan zink yang dikutip selepas kejadian banjir itu sebagai tempat mereka tiga beranak berlindung daripada hujan dan panas sejak lebih setahun lalu.
Pondok tersebut bukan sahaja tidak selesa dan sempit, malah tiada bekalan air dan tandas.
Lebih menyedihkan, banyak bahagian dinding yang berlubang serta atap bocor, menambah lagi kesengsaraan mereka, terutamanya semasa musim hujan.
"Bukan tidak berusaha untuk mendapatkan rumah yang lebih selesa untuk keluarga, tetapi dengan pendapatan yang hanya bergantung kepada kerja mengambil upah menoreh getah orang, pendapatannya tidak seberapa. Saya tidak mampu membina rumah baru.
"Sebagai ketua keluarga, pelbagai usaha telah saya lakukan untuk memberi keselesaan kepada keluarga, termasuk memohon rumah di bawah skim Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), namun sudah lebih setahun permohonan tersebut dibuat, tetapi tiada sebarang jawapan diterima," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Razali mengakui, masalah yang dialami keluarganya pernah mendapat perhatian beberapa pihak, termasuk pemimpin setempat yang datang melawat selepas kejadian banjir tersebut dan berjanji akan membantu, namun hingga kini tiada sebarang khabar gembira diterima mengenai semua janji tersebut.
Mengenai bekalan air, dia telah membuat beberapa permohonan untuk mendapatkan bekalan air paip daripada Syarikat Air Johor Holding Sdn. Bhd. (SAJH), tetapi ditolak tanpa dinyatakan sebarang alasan.
Kini, mereka sekeluarga terpaksa menggunakan air sungai berhampiran pondok tersebut untuk mandi serta membasuh pakaian, manakala untuk memasak, Razali mengharap simpati jiran yang membenarkan mereka mengambil bekalan air bersih.
Sementara itu, Mee pula berkata, mereka berdepan pelbagai risiko, termasuk ancaman binatang berbisa setiap kali meredah cuaca gelap ketika menemani anak lelakinya berusia 16 tahun seawal 6 pagi untuk mandi di sungai yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah sebelum pergi ke sekolah.
"Sekiranya musim hujan, paras air sungai akan naik dan arus bertambah deras. Ia membahayakan kami yang terpaksa meredah kegelapan untuk ke sungai, selain kualiti air yang kotor menyebabkan kami mengalami masalah gatal-gatal selepas menggunakannya," katanya.
No comments:
Post a Comment