Sunday, July 1, 2012

Rayu bantu kos bedah jantung anak



ZULEHA Yahya memerlukan sumbangan bagi membiayai kos rawatan Nur Farah Athirah Balqis Razak yang akan menjalani pembedahan di IJN Kuala Lumpur, pada 16 September ini.



MUAR 27 Jun - Sepasang suami isteri di sini, merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan jantung anak mereka yang akan dilakukan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 16 September ini.


Zuleha Yahya, 44, berkata, anaknya, Nur Farah Athirah Balqis Razak, 3, menghidap penyakit jantung berlubang dan dua saluran injap jantungnya didapati sempit.


"Kos pembedahan itu dianggarkan RM30,000 dan Kementerian Kesihatan bersetuju menanggung perbelanjaan rawatan RM29,800.


"Tetapi kos tambahan RM6,200 diperlukan untuk menampung perbelanjaan sepanjang berada di IJN yang dijangka mengambil masa hampir sebulan. Kami tidak mampu menyediakannya kerana pendapatan suami sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di sini hanya RM545 sekali gus menyukarkan usaha mengumpul wang tambahan,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Tiram, di sini hari ini.


Menurutnya, mereka tidak mempunyai pilihan selain terpaksa meraih simpati orang ramai supaya Balqis segera dibedah.


Katanya, wang itu diperlukan secepat mungkin memandangkan pihak hospital perlu melakukan pembedahan segera kerana lubang jantung Balqis semakin membesar.


Ibu kepada tujuh orang anak itu sering menitiskan air mata kerana tidak sampai hati setiap kali melihat anak bongsunya menangis apabila diserang penyakit berkenaan sehingga muka dan seluruh tubuh bertukar kebiruan dan nafas tercungap-cungap.


Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Zuleha, 04106-29-00047268-5 atau menghubunginya di talian 012-9238215.

No comments:

Post a Comment