Sunday, July 1, 2012

Rumah usang enam sekeluarga dibaiki

Rumah usang enam sekeluarga dibaiki:




SEBAHAGIAN penduduk kampung bergotong-royong merobohkan bahagian depan rumah Yah Awang dalam Program Membina dan Baik Pilih Rumah di Kampung Sungai Rengit, Pengerang, kelmarin.



KOTA TINGGI 28 Jun - Kesukaran hidup enam sekeluarga yang mendiami sebuah rumah di Kampung Sungai Rengit di sini, mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Datuk Harun Abdullah dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).


Bagi meringankan beban pemilik rumah tersebut, Yah Awang, 69, rombongan wakil rakyat dan kakitangan Kejora bergotong-royong membaiki kediaman tersebut.


Yah yang bukan sahaja terharu dengan kunjungan dan kehadiran rombongan itu, malah menitiskan air mata dengan keprihatinan pihak berkenaan, terutama ketika bakal menyambut Ramadan dan Aidilfitri di 'rumah baru' berkenaan.


Yah mengalami masalah pergerakan akibat penyakit kencing manis serta darah tinggi dan hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.


"Saya terus tinggal di sini selepas suami meninggal dunia lebih 25 tahun dulu dan sejak itu rumah ini tidak pernah dibaiki berikutan kepayahan hidup membesarkan enam anak sebagai ibu tunggal.


"Rumah ini kini ibarat menanti roboh sahaja. Banyak kerosakan yang dialami rumah ini, antaranya atap zink yang bocor, rangka kayu rumah dimakan anai-anai dan dinding kian rapuh," katanya.


Lebih membimbangkan mereka sekeluarga adalah apabila ribut dan hujan lebat kerana air masuk melalui atap yang bocor sehingga menyebabkan mereka tidak mampu tidur lena.


Sementara itu, Harun berkata, kerja membaik pulih rumah itu dilakukan secara gotong-royong oleh pihaknya dengan penduduk kampung.


"Kos membeli bahan binaan dan baik pulih RM12,000 disumbangkan oleh Kejora, termasuk RM1,000 oleh Baitulmal (Bahagian Zakat) Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Daerah Kota Tinggi.


"Kita berharap keluarga ini dapat tinggal dengan lebih selesa sebaik sahaja rumah ini dibaik pulih sepenuhnya nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment