Sunday, July 1, 2012

WAWANCARA DR HARON DIN: Usah lepas peluang terbaik PRU13...

WAWANCARA DR HARON DIN: Usah lepas peluang terbaik PRU13... 

Mulanya dijangkakan pertemuan sekadar menziarahi Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din, yang mulai pulih selepas menjalani pembedahan pintasan jantung, kali kelima, di Hospital Stanford, California, Amerika Syarikat.

Operasi bypass kali ini, bagi ulamak terkemuka itu, memang lebih sukar. Dr Haron Din hanya sedar seminggu selepas dibedah, pada 2 April lalu. Walaupun ternyata beliau masih perlu berehat sebaik pulang ke tanahair pada 13 Mei, dan belum dapat memenuhi undangan program di luar, namun ia tidak menghalangnya daripada mengikuti dan mengulas perkembangan semasa, khususnya iklim politik yang meningkat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ikuti wawancara AHMAD LUTFI OTHMAN dan SAIDAH HAIRAN, di kediamannya, di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.


HARAKAH: Walaupun berehat agak lama selepas pembedahan jantung, ustaz tentu tetap mengikuti perkembangan mutakhir politik tanah air, 'kan?

DR HARON DIN: Saya ikuti perkembangan politik tanah air walaupun ketika berada di Amerika terutama melalui internet, juga daripada anak-anak dan kawan-kawan. Suhu politik Malaysia akan naik bila dekat pilihan raya.

Taktik pemerintah pula adalah dengan mengggula-gulakan rakyat, seperti pemberian bantuan 1Malaysia. Bagaimanapun, mereka masih belum selesa untuk mengadakan pilihan raya, maka bantuan itu akan diberi sekali lagi. Dan bila suasana pilihan raya dekat pelbagai isu timbul dan ditimbulkan.

Selalunya media digunakan menyerang musuh politik mereka. Di Malaysia senang nampak kerana hanya ada dua penjuru politik. Politik Umno-BN dan Pakatan Rakyat. Muncung peluru politik itu dihala kepada Pakatan Rakyat dan isu perbesarkan. Jika isu tidak ada, akan diada-adakan.

Contoh yang tidak patut dijadikan isu ialah pilihan raya hendak dibuat di musim haji. Mulanya pemerintah tidak kata apa-apa, kita yang menafsirkan mungkin dibuat pada musim haji.

Ada suara politik dalam Pakatan agar ditangguhkan haji. Jadi dituduh kita mempergunakan agama padahal sepatutnya dipersoalkan, mengapa pemerintah tidak menyelesaikan persoalan ini dengan menegaskan bahawa pilihan raya tidak akan dibuat pada musim haji atau isytiharkan pilihan raya lebih awal daripada musim haji.

Memang wajar bagi pemerintah, yang ada pilihan masa, untuk memberi peluang kepada rakyat melaksanakan tanggungjawab demokrasi untuk memilih pemerintah. Jadi, elakkan PRU13 dalam musim haji. Sama ada buat sebelum atau selepasnya. Itu saja.

Saya melihat pelbagai isu ditimbulkan seolah-olahnya yang layak memerintah ini hanya Umno-BN sahaja, orang lain tidak layak. Inilah karenah politik tanah air yang sengaja menggunakan media bagi menggambarkan segala kebaikan dalam BN walaupun sebenarnya tidaklah baik sepenuhnya. Ia juga menggambarkan keburukan parti pembangkang walaupun hakikatnya tidaklah semuanya buruk.

Sedangkan saya lihat rakyat sudah sedar dan bersedia untuk menolak BN, dengan melihat masa depan lebih gemilang melalui Pakatan Rakyat.


HARAKAH:Apabila bercakap soal kecenderungan mengundi, ramai pemerhati yakin masyarakat bukan Islam khususnya orang Tionghua akan terus menolak BN. Yang masih menjadi polemik atau pertikaian ialah kebersamaan pengundi Melayu untuk menyokong PAS dan Pakatan Rakyat. Umno pula nampaknya berusaha keras untuk menggambarkan PAS semakin meninggalkan perjuangan Islamnya. Bagaimana ustaz melihat situasi ini?

DR HARON DIN:Keputusan PRU12 telah menunjukkan dengan jelas perubahan sikap pengundi, terutama fakta mengenai kaum Tionghua dan India serta anak-anak muda. Trendnya ketara; mereka dengan jelas menolak Umno-BN. Buktinya Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah jatuh manakala Negeri Sembilan hampir jatuh dan beberapa kerusi lain Pakatan menang.

Ini angka dan ia tidak berlaku secara kebetulan. Selepas PRU12, Pakatan kekal momentumnya dalam siri pilihan raya kecil. Dalam pilihan raya negeri Sarawak, misalnya DAP bertanding 15 dan menang 12 mudah. Padahal media massa berkempen habis-habisan, serta Perdana Menteri dan timbalannya turun padang memberi janji.

Majoriti rakyat sedar taktik Umno-BN. Mereka sudah bersedia untuk berubah. Bagi mengtasinya, pemerintah terpaksa beralih berkempen intensif kepada golongan muda. Membuat program dan memberi janji untuk mengambil hati semula.

Selain itu, ada usaha menimbulkan masalah dan isu dalam Pakatan. Ramai mengharapkan PAS akan menjadi pemimpin dalam Pakatan. Dan rakyat mulai menerimanya. Sebab itu Umno sengaja mencari isu walaupun terpaksa berbohong mengatakan PAS telah lari daripada perjuangan Islam. 

Soalan saya, sejak bila Umno-BN mengakui PAS perjuangkan Islam. Setahu saya, dari dulu mereka tidak pernah percaya. Dasar parti kita jelas, Islam. Mereka tidak percaya tapi sekarang ini jelas terbalik. 

Kini, mereka seolah-olah gambarkan bahawa PAS ini memang perjuangkan Islam sungguh-sungguh dan kemudiannya menyeleweng! Orang melihat apa yang ada dalam perjuangan PAS. Pemimpin dan penyokong semuanya memahami bahawa PAS sahaja yang memperjuangkan Islam berbanding Umno.

Kita telah sebut berkali-kali bahawa taburlah fitnah banyak manapun tapi hakikatnya orang tahu perkara sebenarnya. Melihat sikap kepada pimpinan dan pendokong parti, kita telah membuktikan bahawa kita lakukan yang terbaik dalam masyarakat. Rakyat dapat menilainya.

Saya yakin, rakyat akan terus menyokong Pakatan Rakyat dan membolehkan, insya-Allah, satu perubahan besar berlaku.


HARAKAH:Selain menabur tohmah kepada PAS, kerajaan Umno-BN juga cenderung untuk menjemput ulama-ulama luar untuk menjustifikasikan tindakan mereka, misalnya yang terakhir melalui Seminar Fiqh Mentaati Pemimpin.

DR HARON DIN:Itu satu lagi bukti nyata. Umno amat terdesak dan tidak cukup menggambarkan mereka itu hebat dan parti lawan lemah. Tidak cukup dengan watak dan ketokohan orang dalam negeri, maka mereka beralih ke luar negara.

Secara logiknya, orang boleh berfikir. Apabila kita menjemput orang datang ke rumah kita, dan bertanya apa komen tentang makanan pada hari ini, tentulah mereka kata sedap walaupun tak sedap. Untuk mengambil hati.

Soalnya, orang yang dijemput itu adakah orang dalam arena politik atau ilmuan Islam biasa. Mungkin mereka sendiri tidak pernah terlibat dengan kancah politik Islam. Sayamelihat mereka menjemput orang-orang itu dengan memberi kefahaman yang salah, denganmenggambarkan pemerintahan kita ini Islam.

Ditunjukkan adanya Jakim, sekolah agama, pertandingan membaca al-Quran. Apabila digambarkan seolah-olah Malaysia sebuah negara Islam. Lepas itu, mereka tanya apa pandangan tuan terhadap Malaysia. Maka mereka akan jawab dengan baik.

Sepatutnya yang hendak dijadikan rujukan ialah ulama yang mahir dengan politik Islam. Kalau boleh mereka berjumpa dengan Pakatan Rakyat, khususnya PAS, yang didakwa mempolitikkan hudud dan qisas. Persoalan saya, bagaimana boleh melaksanakan hudud dan qisas tanpa menguasai politik? Perubahan dasar hanya boleh dibuat jika menukar kerajaan.

Bagaimana boleh kita pisahkan antara undang-undang dan politik sedangkan politik itu alat utama untuk melaksanakan hukum-hakam. Jadi komen itu menunjukkan orang berkenaan kurang arif tentang politik. Kerajaan Pusat mempunyai kuasa mutlak dalam Perlembagaan untuk menghalang undang-undang Islam dilaksanakan di negeri-negeri walaupun agama itu hak negeri, bukan federal, seperti kes Kelantan.


HARAKAH:Pemimpin dan media Umno sering membawa contoh bahawa PAS telah meninggalkan perjuangan Islam apabila konsep Negara Berkebajikan lebih ditonjolkan berbanding Negara Islam ...

DR HARON DIN:Parti lawan atau pemerintah memang sentiasa mencari peluang untuk menuduh atau mendakwa PAS telah lari daripada perjuangan asalnya. Kebetulan dalam masa mencari-cari itu mereka terjumpa ucapan dasar Presiden PAS dalam Muktamar, yang mengemukakan konsep Negara Berkebajikan.

Betul, sepanjang ucapan itu saya dengar sendiri tidak disebut Negara Islam. Seolah-olah pandangan musuh politik Islam, inilah satu titik bahawa PAS lari daripada perjuangannya, daripada menegakkan Negara Islam kepada Negara Berkebajikan.

Walaupun dijawab banyak kali oleh Presiden, tapi saya ingin menyebut lagi. Perubahan istilah selagi tidak lari daripada tujuan asal maka tidak menjadi masalah besar kepada dasar. Dulu kita gunakan istilah Negara Islam walaupun perlembagaan parti tidak sebuat dengan jelas tentang Negara Islam.

Kita menyebut masyarakat yang melaksanakan nilai-nilai Islam. Apabila Presiden mengemukakan Negara Berkebajikan, saya melihat, mendengar dan merasakan bahawa itu adalah ilham yang diambil daripada al-Quran, dengan ayat yang menyebut "Baldatun Thoyyibatun Wa Robbun Ghofur", "Negara Yang Baik dan Allah Maha Pengampun".

Al-Quran menceritakan tentang Negara Berkebajikan, yang berlaku di Yaman, zaman Puteri Balqis. Tidak lari daripada tujuan asalnya, kalaupun disebut Negara Berkebajikan, yang di dalamnya terlaksana perintah Allah SWT.

Maka perubahan istilah, pada saya, langsung tidak merubahkan dasar. Suasana politik yang berubah. Kadang-kadang apabila kita menggunakan istilah Negara Islam dan orang telah memomokkannya, ia menimbulkan fitnah sampai ada orang yang takut pada istilah itu.

Jika mengubahnya, maka orang boleh terima, maka apa salahnya? Ini tidak bermakna PAS telah lari daripada dasarnya.

PAS ada Majlis Syura Ulama. Pengalaman saya dalam Majlis Syura, kita bebas bercakap, menegur, menasihat dan sebagainya. Seramai 15 ahli Syura, jika PAS lari daripada perjuangan, maka dengan sendirinya kita akan menegur.

Namun, tiada teguran dibuat. Bermakna semua orang faham bahawa perubahan ini tidak ada kena mengena dengan perubahan dasar atau penyelewengan daripada luar.

Sepatutnya tidak ada lagi keraguan terhadap PAS untuk menaruk harapan agar ia dapat menerajui perubahan bersama Pakatan dalam PRU13 nanti?

Pihak lawan akan terus berusaha meragukan pengundi terhadap PAS, bagi menghalang PAS berada di hadapan. Keraguan tadi perlu ditukar kepada keyakinan bahawa Islam akan menang akhirnya. Allah akan membantu golongan yang memperjuangkan Islam.

Dalam al-Quran, ada disebut, maksudnya: "Seandainya kamu membantu menegakkan agama Allah maka Allah akan menolong kamu." Keyakinan ini perlu ada pada setiap orang Islam, apatah lagi pejuang yang mengharapkan bantuan Allah. Pada zaman awal Islam, apabila nabi hendak berperang dengan musuh, dengan jumlah yang sedikit, dan bersama golongan yang lemah, miskin serta para hamba.

Nabi menanamkan keyakinan, bahawa sampai masanya Allah akan bantu dan memenangkan orang Islam walaupun sedikit. Sebab itu Allah menyebut dalam al-Quran, maksudnya: "Berapa ramai golongan yang sedikit Allah menangkan daripada golongan yang banyak."

Keadaan sama berlaku dalam PRU 2008. Saya sendiri tidak terbayang bahawa PAS boleh menang 22 kerusi. Saya tidak terbayang Selangor jatuh ketika itu. Perak dan Pulau Pinang memang saya tidak nampak walaupun saya mengharapkan Perlis dan Kedah kita kuasai.

Maka saya menyeru orang yang ragu-ragu ini, agar meletakkan keyakinan kepada Allah, dan memaksimumkan kerja kita. Kita yakinkan rakyat bahawa PAS perlu banyak kerusi daripada parti lain. PAS perlu banyak menang lebih daripada orang lain. Caranya, kita terus bekerja gigih dan kita berharap Allah membantu.

Seperti juga kita tidak pernah bayangkan ada golongan bukan Islam akan menyokong perjuangan Islam. Saya lama dalam PAS. Saya tahu berapa susahnya hendak dapat undi Cina; satu pun payah. Bagaimanapun, tanpa siapa menduga, boleh berlaku perubahan, sehingga tertubuh Kelab Penyokong PAS, dan akhirnya menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS. Kita dengar angkanya sudah melebihi ratusan ribu orang bukan Islam, yang kini menyokong PAS.

Berdasarkan hal ini, apakah tidak mungkin Allah SWT akan mengubah hati rakyat, hati orangbukan Islam dan Islam. Ia mungkn membanyakkan lagi peluang kepada calon-calon PAS yang akan menang dalam PRU13. 

Kerusi Parlimen yang dimenangi PAS nanti, insya-Allah akan lebih banyak daripada kerusi-kerusi lain. Harapan kita begitulah, demi membawa perubahan buat rakyat dan negara. Dengan sendiri keraguan itu akan berakhir. 


HARAKAH:Insya-Allah ... Dan senario mutakhir ini nampak lebih memberangsangkan apabila PAS menerima penyertaan agak ramai karyawan, termasuk artis dan selibriti terkenal. Selain itu ramai bekas pegawai kanan kerajaan, termasuk bekas timbalan menteri bersama PAS.

DR HARON DIN:Semasa saya Ketua Penerangan PAS Pusat, saya menjejaki beberapa pegawai kanan kerajaan yang menyertai PAS, seperti pegawai tinggi tentera, polis, pegawai kanan kerajaan. Saya kumpul mereka di sebuah hotel, di Kuala Lumpur, untuk meraikan mereka dan berusaha menarik lebih ramai lagi yang lain. 

Sekarang, sahaja pegawai kanan kerajaan, malah artis juga seperti Bob Lokman dan terakhir Aishah, Abby Abadi dan Hairi Othman.

Begitu juga sokongan memberangsangkan anak-anak muda. Dalam perjalanan balik dari Amerika baru-baru ini, saya singgah di Dubai. Ada sekumpulan anak muda melihat kepada saya. Apabila naik pesawat, seorang darinya bertanya: "Minta maaf, nak pastikan ini Dato' Haron Din?" Saya katakan, ya. Dia pun terus menggamit kawan-kawannya, "Oii! Betul, betul."

Rupanya mereka ini wakil negara dalam satu pertandingan sukan di luar negara dan mereka dapat naib juara. Mereka bersalam dan berpeluk dengan saya. Ini hendak menggambarkan golongan muda ini memang berminat dan senang dengan kita.

Saya difahamkan keadaan serupa berlaku kepada ramai lagi pimpinan. Ke mana pun kita pergi, golongan muda ini cukup senang dengan kita. Mereka bertanya khabar dan melahirkan sokongan kepada PAS.

Perubahan ini nampaknya dibimbangi kerajaan. Jumlah golongan muda ini besar dan menjadi penentu dalam PRU13. Walaupun kerajaan cuba memberi kemudahan kepada mereka tapi anak muda faham itu semua adalah adalah kewajipan kerajaan. Hak rakyat untuk menerima kemudahan itu, tapi hak mengundi adalah hak peribadi.

Jika sudah ada kesedaran itu, berilah sebanyak mana pun bantuan, ia tidak boleh memberi prinsip dan hak mereka untuk mengundi calon atau parti yang disukai. Orang sekarang sudah berani menyatakan sikap politik.

Kalau bekas pegawai kanan polis seperti Dato' Fauzi Shaari pun boleh turun berkempen bersama PAS, tentulah ada perkara besar yang tidak kena kepada pemerintah sehingga mereka rasa ia patut diganti.


HARAKAH:Umum mengetahui bahawa PRU13, ibu segala pilihan raya, adalah kritikal dan kita nampak ada tindakan ganas untuk menghalang kemaraan Pakatan. Boleh ustaz beri pesanan kepada petugas parti bagi menghadapi situasi sukar ini? 

DR HARON DIN:Melihat demonstrasi Bersih, berlaku beberapa insden yang tidak baik pada padangan umum masyarakat dan pencinta keamanan. Saya suka kepada damai, ketenangan dan disiplin yang tinggi. Saya amat menyokong orang yang mahu menegakkan keamanan dan keadilan dalam masyarakat.

Dalam Bersih, ada maklumat mengatakan terdapat pihak yang sengaja merancang untuk menimbulkan perkara tidak baik, bagi memburuk-burukkan Pakatan. Padahal jika diselia dengan baik, diberi permit, tetapkan tempat dan mereka berkumpul secara aman, himpunan itu akan berjalan dengan lancar.

Saya menyeru kepada semua jentera PAS, agar tetapkan diri kita sebagai orang Islam, yang mencintai keamanan dan kedamaian, serta mengelak daripada terperangkap dengan provokasi.

Islam mengajar kita supaya patuh dan taat kepada amar maaruf dan mencegah kemungkaran. Pergaduhan itu mungkar, dan boleh mengancam keharmonian masyarakat. 

Saya menyeru ahli-ahli PAS, khasnya petugas pilihan raya agar kekang perasaan marah, walaupun kepada kawan kita yang dulunya baik, sekarang menjadi musuh. Kekang perasaan hendak membalas yang buruk dengan buruk juga. Balaslah dengan yang terbaik.


HARAKAH:Dr Mahathir memberi amaran jika kalah, Pakatan akan cetuskan huru-hara ....

DR HARON DIN:Kenyataan seperti ini saya amat meragui. Bagaimana boleh dituduh dengan begitu mudah? Mana kemampuan Pakatan Rakyat untuk buat huru hara melainkan kerajaan yang ada akan buat huru hara jika mereka kalah.

Memang PRU13 ini kritikal, tapi kalau kita ditakdirkan kalah juga, maknanya kita bukan kalah kali pertama tapi kalah kali ke-13. Jika kita akan buat rusuhan kalau kalah, maka sudah lama berlaku. Sedangkan, rekod menunjukkan, PAS kalah di Kelantan dan di seluruh negara tapi kita tidak buat sebarang kekacauan. Kenapa sekarang ini dituduh kalau kita kalah, akan cetus huru-hara?

Saya mengajak sekali lagi seluruh rakyat dan penyokong PAS ... apakah kita merasakan bertanggungjawab kepada bangsa dan tanahair? Kita sudah bagi peluang kepada Umno lebih setengah abad, dengan segala kepincangan, yang semakin hari kian terserlah.

Dengan keadaan negara semakin kucar-kacir dan rekod pemerintahan yang buruk, seperti rasuah dan salahguna kuasa. Jika terlambat kita perbaiki, maka akan terlambat seluruhnya. Maka PRU13 adalah peluang terbaik kepada rakyat untuk tukar pemerintah.

Bagilah ruang lima tahun untuk Pakatan buktikan komitmen mereka. Kalau berlaku lebih buruk daripada yang ada, rakyat boleh tukar semula. Dan jika apa yang berlaku jauh lebih baik daripada yang ada ini, mereka boleh kekalkan. Segalanya tidak berakhir dengan PRU13 ini. Ia satu peluang keemasan yang kita tidak patut lepaskan.

Saya menyeru seluruh rakyat, khasnya orang Melayu, terutama orang atas pagar untuk memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat, yang akan membela rakyat dan memperbaiki kerosakan teruk dalam pemerintahan Umno-BN selama ini.


HARAKAH:Pilihan raya Presiden Mesir telah selesai dan telah diumumkan kemenangan calon Ikhwanul Muslimin, Dr Mohamed Morsi. Mesir dan Ikhwan sebenarnya rapat dengan umat Islam negara ini. Minta ustaz komen.

DR HARON DIN:Perjuangan Ikhwanul Muslimin, bermula sejak zaman Hassan Al-Banna, menyaksikan pertarungan yang amat hebat antara pejuang Islam dengan penentangnya. Pejuang Islam terbukti kental berdepan segala ujian getir itu.

Apa yang berlaku di Mesir adalah satu episod daripada perjuangan yang begitu lama dan begitu banyak memakan korban. Ikhwan di zaman awalnya, malah di bawah regim Abdul Nasser, menyaksikan pertembungan dahsyat dengan pemerintah. 

Berlaku beberapa fitnah besar yang mengorbankan banyak pemimpin dan pengikut. Namun, yang jelas pada hari ini Ikhwanul Muslimin bangkit dan mendapat dokongan rakyat Mesir sehingga terpilih dengan suara majoriti, Dr Mohamed Morsi sebagai Presiden Mesir.

Kemenangan itu diasaskan atas demokrasi pilihan raya. Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pemimpin Ikhwanul Muslimin atas kemenangan itu. Jangan sesekali dilupakan perjuangan untuk memartabatkan Islam di bumi Mesir.

Ia akan menjadi contoh dan inspirasi kepada pejuang Islam lain terutama di Malaysia, untuk meletakkan kemenangan di tangan pejuang Islam tulen. Insya-Allah perjuangan itu akan mendapat dokongan, sokongan dan keberkatan daripada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment