Sunday, July 1, 2012

Lima tahun jadi tebusan ibu tiri




MOHD. KHAIRUN memeluk Nurmasyita Amiera (kiri) dan Nurul Safiza sambil 
diperhatikan oleh Nordi dan Muhammad Nurhan (kanan) di KLIA, Sepang semalam.

SEPANG - "Kami hanya diberi makanan dua senduk nasi sehari, dipaksa masuk ke hutan dari pagi hingga ke petang dan mencari hasil hutan untuk dijual sebelum duit jualan dibahagikan kepada ibu tiri kami.

"Kalau kami buat salah walaupun kecil, kami akan dipukul," kata seorang daripada tiga kanak-kanak rakyat Malaysia yang 'diselamatkan' Pemuda UMNO selepas hidup bersama ibu tiri mereka di Lampung, Sumatera untuk dijadikan tebusan bagi memeras ugut bapa kandung tiga beradik itu.


Nurul Safiza Fitri, 11, anak kedua daripada empat adik-beradik itu mengadu, sejak tinggal dengan ibu tiri, Kasini Kaslam, 25, mereka dipaksa bekerja dan selalu dipukul walaupun atas kesalahan kecil, selain tidak dibenarkan bersekolah.


Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Mohd. Khairun Aseh berkata, kejayaan misi membawa pulang Nurul Safiza serta dua adiknya, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurmasyita Amiera, 8, adalah berkat kerja keras kakitangan biro itu yang bertolak ke Lampung pada 26 Jun lalu.


Bagaimanapun, kakak mereka, Siti Norzana, 12, gagal dibawa pulang kerana tinggal dengan saudara Kasini di Temusuci, Jawa Timur.


"Walaupun pelbagai halangan yang perlu ditempuhi pegawai kami dalam misi membawa pulang tiga beradik itu di sana, termasuk memandu hampir tujuh jam, namun itu tidak mematahkan semangat mereka untuk mengeluarkan adik-beradik itu daripada kehidupan yang daif di sana.


"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kedutaan kita di Indonesia dan pihak berkuasa republik itu kerana telah membantu dalam proses membawa pulang kanak-kanak itu," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan tiga beradik itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.


Mohd. Khairun berkata, rentetan masalah itu bermula apabila ibu kandung kanak-kanak terbabit, Mohaina Asmad, 34, yang berasal dari Sabah, meninggalkan mereka dan suaminya, Nordi Adi, 57, pada 2005.


Nordi kemudian berkahwin dengan Kasini yang kerap membantunya dalam menguruskan perniagaan baja pertanian semasa di Pontian, Johor pada tahun 2007.


Dia kemudian membawa keempat-empat anaknya itu berhijrah ke Lampung, Sumatera untuk memulakan hidup baharu bersama keluarga Kasini di Lampung.


Namun setahun kemudian, Nordi pulang ke Malaysia seorang diri untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.


"Dia (Nordi) pernah berhasrat membawa pulang anak-anak tetapi isterinya menghalang.


"Kasini juga mengugut supaya diberikan wang sebagai syarat untuk Nordi membawa pulang keempat-empat anaknya," kata Mohd. Khairun.


Kosmo! pada 26 Jun lalu melaporkan dakwaan Nordi bahawa dia telah mengeluarkan RM27,000 daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan wang itu kemudian diberikan kepada Kasini.


Namun tindakan itu nyata sia-sia kerana wanita tersebut didakwa tetap berkeras untuk tidak membenarkan empat beradik terbabit dibawa pulang.


"Nordi kemudian meminta bantuan kami dan syukurlah usaha kita berjaya," katanya.


Menceritakan pengalamannya dalam misi itu, Penolong Pegawai Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Zuhairi Selamat, 39, berkata, pelbagai halangan terpaksa ditempuhi beliau dan rakannya, termasuk berdepan masyarakat kampung yang tidak memahami situasi sebenar semasa proses rundingan dilakukan.


"Kita terpaksa berdepan masalah dengan pihak Imigresen kerana kanak-kanak tersebut memasuki Indonesia secara tidak sah. Mereka tidak mempunyai dokumen ketika memasuki republik itu. Namun hasil perbincangan kedua-dua pihak, akhirnya mereka dibenarkan berlepas ke negara ini," katanya.


Sementara itu, Nordi tidak dapat membayangkan keadaan anak-anaknya jika tidak dibawa pulang ke Malaysia.


"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana sudi membawa pulang anak-anak saya. Tanpa bantuan mereka, mungkin saya tidak dapat lagi bertemu dengan mereka," katanya sambil menambah isteri keduanya itu telah diceraikan kelmarin dengan talak satu.

No comments:

Post a Comment