Cari adik kandung sejak 30 tahun
Ganesan menunjukkan laporan polis yang dibuat apabila adik kandungnya gagal dikesan sejak 30 tahun lalu. Gambar kecil: E Chandran.
GEORGETOWN – Seorang lelaki merayu orang ramai mengesan adik kandungnya yang berpisah sejak 30 tahun lalu selepas keluar dari kediaman keluarga mereka di Kampung Asun, Jitra, Kedah.

E Ganesan, 54, yang bekerja sebagai tukang paip berkata, adik keduanya, E Chandran, 52, telah meninggalkan kampung itu berikutan berlaku perselisihan kecil antara dia dengan abang sulung mereka. “Ketika itu Chandran baru menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperoleh markah yang memuaskan.

Dia (Chandran) merajuk selepas dimarah abang kami dan terus mengambil keputusan untuk tinggal bersama seorang bapa saudara di Mersing, Johor.

“Dua tahun dia meninggalkan rumah, kami lima beradik ada berjumpanya di sana (Johor) untuk memujuknya supaya pulang ke pangkuan ibu tetapi sehingga ke hari ini dia terus membawa diri entah ke mana," katanya.

Menurutnya, selain berusaha mencari adiknya itu sehingga ke seluruh pelosok negeri, dia juga terpaksa mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan polis bagi membantu mengesan Chandran.

“Susulan daripada maklumat yang diterima daripada kedua-dua pihak terbabit, saya berjaya mengenal pasti lokasi Chandran bersama tiga anaknya iaitu Chittra, 22, Chastra, 21, dan Chanastra, 20, menerusi kad pengenalan diri.

“Tiga anaknya menggunakan kad pengenalan yang beralamat di sebuah rumah penjagaan kanak-kanak di Kajang, Selangor manakala Chandran pula di Tampin, Negeri Sembilan.

"Saya juga difahamkan isterinya  sudah meninggal dunia. Saya cuba ke sana untuk mencari dia dan anaknya tetapi gagal kerana pihak rumah terbabit hanya memaklumkan kanakkanak tersebut sudah tidak tinggal di situ lagi manakala Chandran menggunakan alamat majikan,” katanya.

Susulan itu, Ganesan merayu kerjasama orang ramai supaya membantu mengesan adik lelakinya itu dan sebarang maklumat boleh menghubunginya menerusi talian 017- 571 4925.