11 anak, suami hidap lelah
Che Minah menunjukkan alat bantu penyakit lelah yang digunakan ahli keluarganya termasuk anak bongsunya, Mohd Abidin Mustaqim, 6, yang menggunakan alat penyedut khas.
MARANG – Setiap ibu bapa tentunya berazam untuk memiliki kediaman sempurna untuk keselesaan anak-anak. Namun apakan daya tidak semua antara kita diberi ujian dengan kesenangan dan membolehkan kita memiliki apa sahaja yang boleh dibeli dengan wang.

Begitu juga nasib seorang tukang sapu, Che Minah Che Senik, 46, dari Tanah Lot Merchang di sini.

Pendapatan suami sebagai nelayan yang sentiasa tidak menentu mendorongnya mencari pekerjaan biarpun imbuhan yang diperoleh juga tidak seberapa.

Kata Che Minah, suaminya, Musa Draman, 53, turut menghidap lelah dan sering tidak dapat ke laut untuk menangkap ikan.

"Terdedah dengan angin laut yang sejuk juga menyebabkan suami makcik diserang lelah, namun kadang-kadang dia menggagahkan diri demi mencari sesuap nasi untuk membesarkan anak-anak.

"Dengan pendapatan makcik sebanyak RM550 sebulan, tidak cukup untuk belanja dapur kami 13 beranak," katanya.

Lebih menyedihkan kesemua anak mereka juga menghidap penyakit lelah termasuk anak bongsu mereka, Mohd Abidin Mustaqim, 6, yang memerlukan rawatan.

Berikutan itu, mereka sekeluarga kadang kala terpaksa mengikat perut demi memastikan dapat menyediakan wang untuk berulang alik ke klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan jika anaknya diserang lelah.

Menurut ibu yang tabah ini, tiga anaknya sudah berumahtangga, dua orang tidak bekerja manakala lima lagi masih bersekolah.

Biarpun lima anaknya menerima bantuan persekolahan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun wang yang diperoleh masih belum mencukupi untuk sara hidup mereka sekeluarga.


Harap ada yang sudi bantu baiki atap

“Dulu rumah kami kecil, tandas pula kami hanya korek lubang dan buat tandas sendiri. Berbelas tahun begitu...," katanya.

Bagaimanapun, mereka bersyukur kerana JKM memberi bantuan untuk membaiki ruang dapur pada minggu lepas dan Pejabat Kesihatan daerah pula bersedia untuk menyediakan kemuda-han tandas.

Biarpun amat berterima kasih dengan bantuan yang diberikan, namun Che Minah masih mengharapkan bantuan untuk membaiki atap rumahnya yang berlubang di sana-sini sejak 19 tahun lalu.

"Apabila hujan, anak-anak saya tidur dalam kesejukan dan basah, hati saya sangat sedih melihat keadaan mereka.

"Untuk belanja makan pun kami tidak ada cukup wang apatah lagi untuk membaiki rumah ini, saya harap ada yang sudi memberi bantuan," katanya.

Biarpun malu dengan keadaan diri yang terpaksa meminta bantuan orang lain, namun Che Minah terpaksa berbuat demikian demi keselesaan anaknya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi mereka menerusi talian 014 8034255.