Monday, September 17, 2012

Tunjuk perasaan bantah Jepun di China



BEIJING 16 Sept. - Beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di luar Kedutaan Jepun di sini hari ini, sehari selepas mereka cuba menyerbu bangunan itu ekoran berang dengan isu pertikaian pulau antara kedua-dua negara tersebut.
Penunjuk perasaan membaling botol air ke bangunan kedutaan tersebut sambil melaungkan slogan anti-Jepun, mengibarkan bendera China dan menyanyikan lagu kebangsaan negara ini.
Sejumlah besar anggota polis turut berdiri di sepanjang bahu jalan tempat tunjuk perasaan itu diadakan.
Sukarelawan yang memakai lilitan lengan berwarna merah dalam pada itu turut memberikan makanan dan minuman, manakala pasukan perubatan bersiap sedia di lokasi tunjuk perasaan.
Pertikaian wilayah antara kedua-dua negara itu memuncak minggu lalu selepas Jepun mengumumkan telah membeli beberapa pulau di kepulauan Senkaku di Laut China Timur.
Tunjuk perasaan terbaru itu berlaku selepas beribu-ribu orang mengadakan bantahan di sekurang-kurangnya 12 bandar di seluruh China semalam, dengan menyerang kereta buatan Jepun dan restoran negara matahari terbit berkenaan.
Di Shanghai, lebih 200 penunjuk perasaan berhimpun di luar konsulat Jepun hari ini sambil memekik slogan 'Jatuhkan Jepun' dan mengibarkan bendera serta sepanduk.
Polis di bandar itu turut mengetatkan kawalan keselamatan dengan menggunakan kontena dan penghadang plastik untuk menutup laluan berhampiran selepas satu tunjuk perasaan besar, semalam.
Sementara itu, syarikat penyiaran Hong Kong, Cable TV menyiarkan rakaman pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis yang melepaskan gas pemedih mata di wilayah Shenzhen.
Cable TV turut menayangkan rakaman lebih 1,000 penunjuk perasaan membakar bendera Jepun di bandar Guangzhou dan menyerbu sebuah hotel berhampiran konsulat Jepun.
Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda menggesa China supaya menjaga keselamatan rakyat dan perniagaannya di negara ini. - AFP

No comments:

Post a Comment