Monday, September 24, 2012

Anak perempuan Rafsanjani dipenjara


Faezeh dikatakan turut berucap dalam perhimpunan menyokong calon yang kalah, Mirhossein Mousavi, meskipun ia diharamkan.
Faezeh dikatakan turut berucap dalam perhimpunan
menyokong calon yang kalah, Mirhossein Mousavi, meskipun ia diharamkan.

Tehran: Anak perempuan bekas pemimpin Iran, Akhbar Hashemi Rafsanjani, ditahan dan dipenjarakan semalam sebagai memulakan pelaksanaan hukuman enam bulan atas kesalahan melakukan propaganda terhadap kerajaan, lapor media yang memetik kenyataan pendakwa raya.

Faezeh Hashemi ditahan petang kelmarin bagi menjalani hukuman itu, lapor agensi berita IRNA.

“Faezeh dihantar ke penjara Evin di Tehran,” kata agensi berita FARS.
Faezeh adalah antara salah seorang yang ditangkap mengambil bahagian dalam bantahan yang tercetus selepas Mahmoud Ahmadinejad diberi mandat memerintah penggal kedua menerusi pilihan raya 2009, kata sumber.

Pembangkang menuduh berlaku penipuan dalam undian pilihan raya berkenaan.
Faezeh ketika itu turut berucap dalam perhimpunan menyokong calon yang kalah, Mirhossein Mousavi, meskipun ia diharamkan.

Lakukan propaganda
Sekalipun pihak berkuasa kemudian membebaskannya, mereka juga membicarakan beliau atas tuduhan melakukan propaganda antikerajaan.

Faezeh didapati bersalah tetapi hukuman tidak dilaksanakan sehinggalah semalam.
Beliau dibicarakan selepas diwawancara sebuah laman web pembangkang dan mengkritik pencabulan hak asasi manusia dan dasar ekonomi Iran.

Bapanya, Rafsanjani, 78, adalah seorang ulama berpengaruh yang berkhidmat sebagai pemimpin pada 1989 hingga 1997.

Beliau juga dilihat sebagai seorang yang berpendirian sederhana di kalangan ramai pemimpin konservatif dalam pemerintahan negara.

Jadi sasaran

Selain itu, seorang anak lelaki Rafsanjani, Mehdi turut menjadi sasaran pihak berkuasa perundangan Iran.

Beliau meninggalkan Iran lebih daripada tiga tahun lalu dan tinggal di London untuk meneruskan pelajaran.

Mehdi dijangka pulang ke tanah air semalam selepas menamatkan pelajarannya.
Pegawai sudah menyarankan supaya Mehdi ditahan sebaik tiba atas tuduhan turut menghasut kekacauan selepas pengundian 2009.

Sumber bebas memberitahu, Mehdi berada di Dubai dan dalam perjalanan pulang. - Agensi

No comments:

Post a Comment