Anggota keselamatan memastikan keadaan selamat selepas melakukan serbuan dan menahan militan. Remaja (gambar kecil) melihat ke luar dari sebuah lubang selepas polis mematikan bom buatan sendiri suspek pengganas di Solo, Jawa Tengah. |
Dua suspek ditahan pada Sabtu lalu di bandar Solo, Jawa Tengah selepas pihak berkuasa menerima maklumat mengenai mereka dari militan lain dalam kumpulan sama yang menyerah diri baru-baru ini, kata jurucakap polis kebangsaan, Brigadier Jeneral Boy Rafli Amar.
Suspek terbabit disiasat dan mereka membantu polis dalam penangkapan enam lagi anggota kumpulan beberapa jam selepas itu di bandar yang sama. Suspek ke-9 ditahan lewat Sabtu di Kalimantan Barat manakala suspek ke-10, Joko Parkit, ditahan semalam.
Amar berkata, dua ditahan itu dikenali Badri Hartono dan Rudi Kurnia Putra, kedua-dua berusia 45 tahun dan bekerja merekrut pemuda serta mengajar sekurang-kurangnya seorang ahli kumpulan itu bagaimana untuk membuat bom.
“Mereka adalah tokoh utama kumpulan itu yang merancang beberapa serangan. Mereka merekrut, mengundang golongan muda untuk dilatih dengan gaya tentera di kem jihad dan membeli bahan membuat bom,” kata Amar.
Rancang bom
Katanya, kumpulan itu merancang mengebom bangunan Parlimen, menembak polis dan menyerang skuad anti keganasan.
Polis merampas 12 butir bom buatan sendiri, tiga raifal, empat bilah pedang dan beberapa buku jihad dari rumah tiga suspek, kata Amar.
Lima butir bom sudah selamat dimatikan lewat kelmarin di tempat kejadian di Solo, bandar asal guru agama terkenal yang kini dipenjara, Abu Bakar Bashir.
Polis masih menyiasat kemungkinan kaitan kumpulan tanpa nama itu dengan rangkaian pengganas lain, kata Amar. Pihak berkuasa percaya ia sudah berpecah tetapi mereka masih lagi terus mencari anggota lain.
Suspek ditahan
Sejak Mac lalu, lebih 30 suspek militan ditahan dan tujuh lain dibunuh dalam satu siri serbuan di Indonesia. Semua merancang melakukan serangan dalam negara dan ada di antara mereka yang berusia antara 18 hingga 20 menghadiri kem latihan gaya tentera di Poso, Pulau Sulawesi.
Ahli kumpulan lain, disyaki pembuat bom, Mohammad Toriq menyerah diri dua minggu lalu di ibu kota Jakarta, sambil membawa sepucuk senjata api dan peluru, dan memakai tali pinggang bunuh diri yang tidak mengandungi sebarang bahan letupan.
Militan kedua, Yusuf Rizaldi, menyerah diri kepada polis di Sumatera Utara tiga hari selepas itu. Mereka memberi kerjasama dengan memberi maklumat mengenai ahli lain kumpulan itu yang membawa serbuan pada Sabtu lalu, kata Amar.
Polis memberitahu, Toriq didakwa merancang sebahagian daripada serangan menembak polis dan mengebom bangunan Parlimen untuk jihad bagi mewujudkan undang-undang Syariah.
Dia melarikan diri sejak polis menyerbu rumahnya di Jakarta awal bulan ini berikutan jiran melaporkan melihat asap dari rumah berkenaan. - AP
No comments:
Post a Comment