Monday, September 24, 2012

Curang



WARGA Israel yang ditangkap kerana mempunyai kaitan dengan sindiket penjualan organ manusia secara haram melibatkan penduduk miskin di Kosovo dan Azerbaijan baru-baru ini.
PEMERGIAN Tee Hui Yee, gadis yang boleh kita umpamakan mendapat semangat setelah ‘mati hidup semula’ pada Selasa lepas, sedikit sebanyak menyentap hati kebanyakan kita.
Beliau yang baru mencecah usia 19 tahun mencatat sejarah apabila kisahnya yang menjalani pembedahan pemindahan jantung menarik perhatian ramai selepas mendapat liputan terawal dalam akhbar Utusan Malaysia.
Khalayak berkongsi kesulitan yang dihadapinya terpaksa bergantung hidup dengan jantung mekanikal selama setahun berikutan ketiadaan penderma. Ramai juga merasai ketabahannya menunggu insan mulia yang sanggup menderma jantung kepadanya.
Cukup mendukacitakan apabila mendiang meninggal dunia pada hari sama beliau sepatutnya memulakan tugas murni sebagai guru tadika di kampung halamannya di Batu Pahat, Johor.
Menikmati hidup sejak mendapat jantung baru, Hui Yee juga dikatakan merancang untuk berumah tangga dalam tempoh dua tahun lagi dengan kekasihnya Lau Shie Chiek.
Tragis
Mungkin bagi kebanyakan kita, riwayat hidup yang dilalui oleh mendiang ini hanyalah kisah biasa manusia yang tiada nilai istimewa.
Pemergian beliau ini turut menamatkan kisah tragisnya yang begitu berusaha dan pada satu ketika hampir berputus asa untuk mencari penderma jantung.
Namun apakan daya hayatnya berakhir sebelum sempat mengecap alam kerjaya dan rumah tangga. Jantung yang diperoleh daripada mendiang Chin Yoong Kiong yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya hanya mampu bertahan hampir lima tahun.
Walaupun Hui Yee telah tiada namun kisahnya akan terus dikenang sebagai pembuka mata kepada peri pentingnya pendermaan organ di negara ini.
Pembedahan pemindahan jantung maraton melibatkan Hui Yee akan tetap dilihat sebagai satu kejayaan dalam sejarah perubatan negara.
Begitu juga dengan kejayaan transplan jantung Muhammad Fikri Nor Azmi, lebih empat tahun lalu yang turut mengukir senyuman di wajah ahli keluarga serta rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kesihatannya.
Yang pasti dua peristiwa ini telah menjadi titik tolak kesedaran rakyat Malaysia tentang pendermaan organ. Sayangnya momentum itu tidak dikekalkan kerana setakat ini jumlah mereka yang bersedia untuk menderma organ masih di takuk lama.
Hakikat ini bersandarkan statistik sehingga 30 September 2011, jumlah penderma organ dan tisu kadaverik hanya 342 orang. Manakala jumlah rakyat Malaysia yang telah berikrar untuk menderma organ selepas kematian ialah 181,534 orang mewakili hanya 0.63% daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia.
Sedangkan jumlah pesakit yang sedang menunggu untuk mendapatkan organ di Malaysia adalah seramai 14,037 orang.
Organ halal
Pemindahan organ adalah suatu pembedahan bagi menggantikan organ yang bermasalah atau berpenyakit dengan organ baru. Organ yang digunakan untuk pemindahan ini datang daripada dua sumber. Pertama, daripada penderma organ yang masih hidup dan kedua, daripada penderma yang sudah meninggal dunia.
Pendermaan organ bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa malah mempertingkatkan kualiti hidup penerima organ.
Penilaian
Di negara ini, Kementerian Kesihatan hanya membenarkan pendermaan organ semasa hidup kepada ahli keluarga terdekat yang mempunyai pertalian darah. Anda juga boleh menderma kepada suami atau isteri yang sah.
Sekiranya anda mahu menderma organ kepada seseorang yang tidak mempunyai pertalian darah atau ahli keluarga yang jauh (ahli keluarga darjah ketiga ke atas), anda perlu menjalani penilaian oleh satu jawatankuasa bebas yang dilantik oleh pihak kementerian.
Di Malaysia, kanak-kanak dan orang kurang upaya mental tidak dibenarkan menderma organ semasa mereka masih hidup.
Banduan juga tidak dibenarkan menderma organ kecuali di dalam keadaan tertentu melibatkan nyawa ahli keluarga terdekat.
Malaysia mempunyai undang-undang yang ketat dalam isu ini kerana jual beli organ adalah dilarang.
Ini bersesuaian dengan pandangan bahawa pengorbanan seseorang yang telah menderma organ adalah tidak ternilai harganya.
Oleh itu Kementerian Kesihatan tidak akan membuat sebarang pembayaran sekiranya seseorang pesakit telah menderma organ.
Pesakit yang menerima organ juga tidak dibenarkan membuat sebarang bayaran kepada penderma. Selain itu, pemberian hadiah atau insentif yang tidak berbentuk kewangan adalah dilarang termasuk pemberian rumah, kereta, tanah dan lain-lain.
Sehingga kini risiko yang diterima oleh para penderma organ yang masih hidup adalah kecil. Kebanyakan mereka pulih sepenuhnya dan boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa beberapa minggu selepas pembedahan dijalankan.
Dalam konteks ini pendermaan organ tidak akan mengubah gaya hidup anda. Pendermaan organ juga dilihat tidak akan mengubah jangka hayat seseorang.
Organ haram
Namun satu isu menarik yang dilihat mampu menjadi barah yang sukar dikawal adalah kewujudan aktiviti penjualan organ dalaman manusia secara haram.
Sindiket ini bukan sahaja sanggup menjual organ, malah lebih menggerunkan apabila bertindak membunuh untuk mendapatkan organ yang sihat untuk dijual di pasaran gelap pada harga yang tinggi.
Terdapat juga orang perseorangan yang bersetuju untuk menjual organ tubuhnya kepada pihak tertentu untuk mendapatkan habuan lumayan.
Malah agak mengarut apabila terdapat manusia yang sanggup menjual organ pentingnya untuk mendapatkan sesuatu yang langsung tidak berbaloi.
Itulah yang berlaku di China baru-baru ini apabila pihak berkuasa Chenzhou, tengah China mendakwa lima orang kerana terbabit dalam perniagaan organ secara haram.
Mengarut tapi benar! Mereka ditangkap selepas menjalankan pembedahan ke atas seorang remaja yang menjual salah satu ginjalnya hanya untuk membeli telefon pintar iPhone dan komputer tablet iPad.
Remaja terbabit ialah seorang pelajar sekolah tinggi berusia 17 tahun yang hanya dikenali sebagai Wang.
Kelima-lima tertuduh terdiri daripada seorang doktor bedah, seorang kontraktor hospital dan beberapa broker mencari penderma organ.
Salah seorang tertuduh dikatakan menerima bayaran 220,000 yuan (RM107,310) untuk pembedahan mengeluarkan ginjal tersebut dan hanya menyerahkan 22,000 yuan (RM10,731) kepada pelajar berkenaan.
Hakikatnya sindiket penjualan organ manusia memiliki jaringan peringkat antarabangsa yang teratur dan didalangi kumpulan jenayah terancang. Ini berikutan permintaan untuk organ dalaman manusia ini begitu tinggi berikutan kekurangan yang begitu ketara.
Tidak menghairankan apabila kumpulan ini bergerak dalam senyap dengan menumpukan kepada golongan sasaran rakyat miskin, mereka yang kesempitan hidup dan wang ringgit.
Tampil
Antara negara yang didakwa terlibat secara besar-besaran dalam sindiket ini adalah China, India, Mozambique, Pakistan dan Moldova.
Di Malaysia dan kebanyakan negara lain, pemerdagangan organ manusia adalah diharamkan, selaras dengan prinsip panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai pemindahan organ.
Maka jalan penyelesaian terbaik sudah tentu mengharapkan lebih ramai yang tampil menderma organ untuk membantu mereka yang memerlukan.
Bagi umat Islam pula, mereka tidak perlu was-was kerana Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1970 telah memutuskan bahawa pendermaan organ si mati kepada orang lain atau menerima organ orang bukan Islam dibenarkan, selagi tiada unsur jual beli kerana organ adalah kurniaan Allah SWT yang tiada nilai gantinya.
Selain itu, ramai ulama bersetuju dengan keharusan menderma organ kerana ia memenuhi salah satu maqasid syariat Islam, iaitu memelihara nyawa. Ini mengingatkan kita kepada peristiwa di mana mata pejuang Islam Qadatal bin Nukman telah terkeluar dalam satu peperangan lalu dipindahkan semula oleh Rasulullah SAW.
Oleh itu adalah lebih baik pendermaan organ ini dilakukan secara lebih menyeluruh daripada hati yang ikhlas untuk menyelamatkan insan lain yang lebih memerlukan seperti yang berlaku terhadap Hui Yee.
Walaupun tidak hidup lama, namun sekurang-kurangnya Hui Yee sempat berkongsi anugerah kehidupan lebih lama sedikit berbanding ribuan lain yang masih belum tentu masa depan mereka kerana masih mengharap penderma. untuk meneruskan kehidupan.

No comments:

Post a Comment