KUALA LUMPUR: Lambakan ulat teksi Arab yang beroperasi secara haram di Bukit Bintang, di sini, disifatkan sebagai sesuatu merugikan kerajaan kerana hasil yang sepatutnya diraih penduduk tempatan dikaut warga asing.
Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan, Selangor (Perpekli), Datuk Aslah Abdullah yang kecewa dengan masalah itu yang berlarutan sejak 10 tahun lalu di Bukit Bintang belum menemui jalan penyelesaian.
Beliau ketika dihubungi mencadangkan supaya penggubalan akta baru dibuat kerajaan bagi menghalang kegiatan ulat teksi Arab selain pelaksanaan penguatkuasaan ketat oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
“Masalah ulat teksi bukan perkara baru untuk diperkatakan kerana masalah ini wujud sekian lama. Dikesalkan kerana kehadiran teksi sapu atau ulat Arab seperti mencantas pendapatan pemandu tempatan,” katanya.
Menurut Aslah, perkara itu pernah disuarakan persatuan teksi, namun masalah itu bagaikan tiada noktah.
“SPAD perlu lebih tegas menghalang kegiatan ulat teksi asing bukan hanya mengenakan hukuman ke atas pemandu tempatan,” katanya.
Aslah berkata, dengan hasil diperoleh ulat teksi terbabit, ia menjejaskan ekonomi Malaysia dan mengakibatkan aliran wang negara keluar.
“Lebih tepat pelancong pastinya menuding jari kepada kerajaan sekiranya berlaku kemalangan sedangkan mereka menggunakan prebet sapu. Tambahan pula pemandu asing tidak memiliki lesen memandu, insurans dan cukai jalan,” katanya.
Menurut Aslah, selain pakej perjalanan, ulat tiket asing turut menawarkan perkhidmatan pelacuran kepada pelancong selain kumpulan itu memilik persatuan, syarikat dan pejabat yang berpusat di ibu kota.
“Ini masalah rakyat dan perlu diselesaikan. Kehadiran ulat teksi diibaratkan mencuri hasil Malaysia,” katanya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment