Bumi Palestin terus diancam - Rencana - Sinar Harian:
Ini ialah bahagian ketiga daripada rencana empat siri mengenai isu Palestin sempena seminar "Selamatkan Masjid Al-Aqsa Daripada Ancaman Zionis" baru-baru ini.
KUALA LUMPUR - Sejak dahulu lagi, bumi Palestin tidak pernah sunyi daripada pergolakan melainkan semasa di bawah pemerintahan kerajaan Islam selama 1,300 tahun.
"Ketika Islam memerintah, penganut Kristian dan Yahudi boleh menetap dan beribadah dengan aman di rumah ibadah masing-masing tanpa gangguan. Namun, perkara sebaliknya berlaku ke atas umat Islam ketika Kristian dan Yahudi memerintah di mana umat Islam ditindas dan dibunuh dengan begitu kejam," kata perunding 'Aman Palestin', Prof Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin.
Menurut beliau lagi, jika dilihat pada sejarah, ketika tentera Salib atau "The Crusaders", iaitu gabungan tentera dari 22 negara Eropah, memerintah pada tahun 1099, mereka telah membunuh kira-kira 70,000 umat Islam.
"Tetapi sewaktu Solahuddin Al-Ayubi membuka semula Palestin, beliau tidak melaksanakan pembunuhan beramai-ramai. Bahkan orang tua dan sakit diberikan kemudahan kenderaan untuk dibawa pulang ke Eropah," katanya.
Solahuddin adalah berketurunan Kurdi yang telah mengambil kembali tanah suci Palestin daripada tentera Salib dari Eropah. Dalam kalangan tentera Salib, beliau dikenali sebagai 'Saladin'.
Dr Zainur, yang juga pakar perunding di Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban, turut berkata bahawa tindakan Solahuddin dan pemerintah Islam yang lain telah memberikan contoh terbaik dan bukti bahawa kerajaan Islam apabila diberi peluang memerintah, mereka akan berlaku adil.
MENGAPA PALESTIN PENTING?
Dalam satu temubual eksklusif dengan Bernama, Sheikh Raed Solah, pengasas pergerakan umat Islam "Palestine 48", telah menjawab persoalan ini dengan menggariskan lima fakta utama yang perlu diketahui dan difahami oleh seluruh umat Islam akan signifikasi isu Palestin ini kepada umat Islam.
Pertama, ia adalah tempat yang disinggahi Rasulullah S.A.W. ketika peristiwa Isra’ dan Mikraj. Sebagaimana yang kita ketahui, perjalanan Baginda dalam peristiwa tersebut bermula dari Masjidil Haram dan berakhir di Masjidil Aqsa sebelum Baginda diangkat ke langit.
Kedua, bumi Palestin adalah bumi yang penuh dengan berkat daripada Allah S.W.T, sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat yang pertama, yang bermaksud: "Nabi berangkat dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati di sekelilingya.
"Ia adalah bumi ‘Muqaddasah’ yang bermaksud bumi yang disucikan dan firman Allah dalam Al-Quran yang membawa maksud; Masuklah kamu ke bumi yang suci atau disucikan yang Allah telah tetapkan bagi kamu," jelas Sheikh Raed lagi.
Daripada ayat-ayat ini, jelas menunjukkan dua sifat yang telah Allah sebutkan berkaitan Palestin; ia adalah bumi yang diberkati dan bumi suci yang telah disucikan oleh Allah S.W.T.
Ketiga, bumi Palestin menempatkan ratusan kubur para syuhada’, bermula dari zaman sahabat, para tabi’in, sehinggalah ke zaman kerajaan Uthmaniyyah.
Sheikh Raed menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk memelihara dan memulihara makam-makam tersebut yang menjadi lambang perjuangan pemimpin-pemimpin Islam merentasi tamadun yang berbeza mempertahankan Palestin.
Keempat, kepentingan isu Palestin ini diperkuatkan lagi dengan puluhan hadis yang telah memberi perkhabaran gembira kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang menyentuh tentang Baitulmaqdis dan kawasan sekelilingnya.
"Hal ini menunjukkan dengan jelas bahawa bumi Palestin adalah mutlak umat Islam sehinggalah hari Kiamat kelak," tegas beliau yang adalah individu pertama menemui terowong binaan Israel di bawah Masjidil Aqsa.
Kelima, sejarah telah membuktikan bahawa umat Islam telah bersatu sejak dahulu lagi untuk memerdekakan, menjaga, dan membela Palestin. Antaranya melalui perjuangan tentera Islam menentang tentera salib (Crusaders) dan tentera Tatar (Mongol).
YAHUDI DAN ZIONIS: SIAPA YANG DITENTANG?
Yahudi adalah ahli kitab yang mana telah disebut di dalam Al-Quran, firman Allah bermaksud; "Jangan kamu bertikai dan berdebat dengan orang Yahudi kecuali dengan cara yang terbaik".
Ketua Gerakan Islam "Palestin 48" itu berkata, bahawa sesungguhnya umat Islam tidak mempunyai masalah dengan orang Yahudi. Ini kerana menurut beliau, orang Yahudi diperangi bukan kerana Yahudinya.
Dalam firman Allah yang lain juga ada menyebut bahawa wanita-wanita dari kalangan ahli kitab itu halal untuk dinikahi oleh lelaki Muslim dan Allah juga berfirman yang bermaksud; "Makanan ahli Kitab itu (Yahudi dan Nasrani) adalah dihalalkan bagi umat Islam".
Namun yang diperangi umat Islam adalah Zionis di atas kezaliman yang dilakukan dan penjajahan ke atas bumi Palestin, sekaligus memberi kesimpulan bahawa Projek Zionis adalah "Projek Zalim" yang begitu bahaya terhadap umat Islam dan Palestin.
Pandangan yang sama turut dikongsi oleh Dr Zainur atas kekeliruan yang timbul dalam kalangan umat Islam, khususnya di Malaysia, mengenai siapa sebenarnya yang kita tentang. Adakah Yahudi secara keseluruhan atau pun Zionis secara khususnya?
Beliau menyatakan : "Kita umat Islam tidak bergaduh dengan bangsa Yahudi, kita juga tidak bergaduh dengan agama Yahudi.
"Untuk tinggal bersama di dalam sebuah negara bukanlah satu masalah tetapi penentangan yang berlaku sekarang adalah disebabkan rampasan, kekejaman, kezaliman dan penodaan yang dilakukan oleh rejim Yahudi Zionis," katanya.
Dr Zainur turut berkata bahawa isu ini tidak hanya ditentang oleh umat Islam, malah masyarakat Kristian yang menetap di Palestin juga bersama-sama dengan orang Islam menentang kekejaman Zionis.
"Harus diingatkan juga bahawa, penganut agama Yahudi Ortodoks, 'Neturei Karta', yang merupakan ajaran Yahudi paling hampir dengan ajaran Yahudi yang asal, turut sama menentang dan menolak," menurut Dr Zainur.
ANTARA ‘JEW’, ‘JUDAISM’, DAN ‘ZIONIS’
Dr Zainur berkata satu fakta asas yang perlu diketahui oleh seluruh umat Islam, khasnya di Malaysia, ialah perbezaan antara 'Jew', 'Judaism' dan Zionism'.
'Jew' ialah bangsa daripada suatu kaum manakala Judaism ialah agama asal Yahudi tetapi tidak semua bangsa Yahudi ini beragama Judaism kerana ramai yang tidak mempunyai agama.
Malah Theodore Herzl, pengasas negara Israel ialah seorang ‘atheist’, kata Dr Zainur.
Perunding Aman Palestin itu turut berkata bahawa isu di sebalik konflik Palestin sebenarnya ialah politik.
"Zionis sebenarnya adalah satu fahaman politik bertujuan untuk mewujudkan negara yang dikhususkan untuk orang Yahudi yang bersempadankan Sungai Nil di Mesir dan Sungai Furat di Iraq.
"Mereka bercita-cita ingin menjadikan Baitulmaqdis atau ‘Jerusalem’ sebagai ibu negaranya dan mereka ingin membina ‘The Solomon Temple’ (Kuil Yahudi) di atas runtuhan Masjid Al-Aqsa," jelas beliau lagi.
Maka, apa yang ditentang oleh umat Islam, masyarakat antarabangsa yang lain dan Yahudi Ortodoks bukanlah bangsa Yahudi ataupun agama Yahudi itu sendiri, tetapi yang ditentang adalah fahaman dan gerakan politik Zionis. - Bernama
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment