Sabah el-Saqari catat sejarah walaupun diramal kalah
Kaherah: Buat pertama kalinya, seorang wanita bertanding untuk mengetuai parti politik terulung Mesir, Ikhwanul Muslimin, pergerakan paling berkuasa di negara itu. Sabah al-Saqari berkata beliau mahu meningkatkan penyertaan wanita dalam politik dan mempertahankan hak wanita untuk bertanding sebagai presiden, satu pendirian yang ditentang pertubuhan itu sendiri.
Pilihan raya dalaman parti dijadualkan 19 Oktober depan adalah untuk menggantikan Mohammed Morsi memegang jawatan pengerusi sehingga menjadi presiden pertama Mesir dilantik secara bebas, akhir Jun lalu.Golongan liberal yang bimbangkan pemerintahan Islam akan mengehadkan hak wanita pula menuduh pencalonan itu sebagai cubaan Ikhwan untuk memperbaiki imej sekalipun al-Saqari adalah veteran Ikhwan selama 22 tahun.
Beliau bertanding untuk menjadi pengerusi Parti Kebebasan dan Keadilan yang diwujudkan oleh Ikhwan selepas kejatuhan Hosni Mubarak pada Februari tahun lalu.
Parti diperalat
Selepas ditindas beberapa dekad oleh Mubarak, parti terbabit menjadi alat membolehkannya untuk berkuasa, mengalahkan aktivis dan golongan progresif yang menggerakkan revolusi.
Pilihan raya dalaman parti dijadualkan 19 Oktober depan adalah untuk menggantikan Mohammed Morsi memegang jawatan pengerusi sehingga menjadi presiden pertama Mesir dilantik secara bebas, akhir Jun lalu.
Pencalonan simbolik besar
Pencalonan al-Saqari adalah satu simbolik besar meskipun dilihat tidak berpeluang untuk menang kerana berhadapan dua calon besar untuk jawatan itu iaitu tokoh kanan Ikhwan, Essam el-Erian dan Saad el-Katatni. Turut bertanding seorang lagi ahli parti yang kurang dikenali, Khaled Awda.
Langkah berkenaan bukan yang pertama membabitkan penyertaan seorang wanita dalam aspek yang dikuasai lelaki hampir keseluruhannya dalam Ikhwanul Muslimin.
Parti terbabit pernah mempunyai ahli perundangan wanita dalam Parlimen dibentuk selepas revolusi yang kemudian dibubarkan tetapi lelaki memonopoli proses membuat keputusan dan jawatan ketua parti selain hal ehwal parti itu sendiri.
Pihak liberal sebaliknya melihatnya sebagai percubaan sinis Ikhwan untuk menggalakkan pandangan tidak benar mengenai pendirian mereka terhadap wanita.- AP
No comments:
Post a Comment