Sunday, October 14, 2012

Militan Filipina terancam

Militan Filipina terancam:


MANILA 13 Okt. - Perjanjian damai antara kerajaan dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang dicapai awal minggu ini, dilihat memberi tamparan hebat kepada kumpulan militan di negara ini.
Setiausaha Pertahanan Filipina, Voltaire Gazmin berkata, perjanjian damai awal tersebut diharap akan 'mengubah' kumpulan pemisah yang mempunyai kekuatan 11,000 orang itu, kepada pasukan menggerunkan dalam membantu menumpaskan saki-baki kumpulan militan Abu Sayyaf.
Beliau berkata, keadaan itu juga akan membantu Filipina menggempur beberapa anggota militan dari Indonesia dan Malaysia yang masih bersembunyi di wilayah Mindanao, selatan negara ini.
"Kita boleh berperang dengan bantuan MILF. Keadaan ini boleh meminggirkan kumpulan seperti Abu Sayyaf,'' kata Gazmin.
Amerika Syarikat (AS), Britain dan Australia memuji perjanjian tersebut yang diumumkan oleh Presiden, Benigno Aquino III pada 7 Oktober lalu.
Perjanjian tersebut akan ditandatangani secara rasmi di Manila, Isnin ini.
Wakil Kumpulan Krisis Antarabangsa yang beribu pejabat di Brussels, Belgium, Bryony Lau berkata, kerajaan asing menyokong proses damai itu kerana polisi antikeganasannya.
"Walaupun MILF memutuskan hubungan dengan kumpulan pelampau asing demi perjanjian damai itu, tetapi ada komander masih meneruskan hubungan.
"Perjanjian itu akan meningkatkan insentif kepada kepemimpinan MILF untuk memastikan anggota mereka masih tidak menyembunyikan orang berkenaan,'' katanya.
Di bawah perjanjian itu, MILF akan menutup unit bersenjatanya sehingga perjanjian akhir iaitu pembentukan wilayah autonomi dicapai, yang dijangka dalam tempoh tiga tahun. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121014/lu_02/Militan-Filipina-terancam#ixzz29Ldvtr77
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment