PESHAWAR 13 Okt. - Sekurang-kurangnya 16 orang maut dan 30 orang lagi cedera apabila seorang pengebom berani mati meletupkan diri di sebuah pasar yang sesak dengan orang ramai yang membeli keperluan harian di barat laut Pakistan hari ini.
Pegawai berkata, letupan di pasar utama di Darra Adam Khel itu disasarkan terhadap anggota kumpulan militia prokerajaan yang memerangi militan Taliban.
"Angka kematian setakat ini adalah 16 orang dan mungkin meningkat kerana ramai lagi cedera,'' kata pegawai kerajaan tempatan, Fakhar-ud-Din.
Menurut beliau, bom tersebut disembunyikan di dalam sebuah trak mini berhampiran pasar tersebut.
Polis juga sedang menyiasat sama ada bom berkenaan merupakan bom jangka atau diletupkan dengan alat kawalan jauh.
Sehingga kini, belum ada pihak tampil bertanggungjawab melakukan serangan itu.
Kejadian itu yang berlaku di bandar dikuasai kumpulan militan Tariq Afridi, kira-kira 35 kilometer dari selatan Peshawar, turut dikutuk Presiden Asif Ali Zardari dan Perdana Menteri Raja Pervez Ashraf. - dpa
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121014/lu_04/Letupan-di-pasar-sebabkan-16-maut#ixzz29LbwA0Yo
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment