Sunday, October 14, 2012

Hanya bawa alat ganti radar

Hanya bawa alat ganti radar:

Para penumpang keluar dari pesawat Syrian Air yang didakwa membawa senjata, selepas ia dipaksa mendarat di lapangan terbang Esenboga, Ankara, Rabu lalu. - AFP
MOSCOW 12 Okt. - Pesawat penumpang Syria dari Moscow yang dipintas dan ditahan Turki, hanya membawa alat peralatan radar untuk sistem pertahanan peluru berpandu Syria namun tiada senjata api dalam kargo tersebut, lapor akhbar Rusia hari ini.
Akhbar Kommersant yang memetik sumber dalaman industri eksport senjata sebagai berkata, pesawat itu membawa 12 kotak mengandungi peralatan radar untuk digunakan dalam sistem pertahanan tentera Syria.
Pendedahan itu menafikan tuduhan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bahawa kargo pesawat berkenaan turut memuatkan peluru.
Sumber itu berkata, kargo berkenaan tidak memerlukan dokumen khas kerana tidak menimbulkan sebarang risiko kepada anak kapal dan pesawat.
"Pesawat itu tidak membawa senjata. Jika seseorang membawa alat pemancar radio yang ditutup dalam pesawat, adakah tindakan itu mengancam pesawat atau penumpangnya?
"Tiada sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa berlaku,'' kata sumber itu.
Jurucakap agensi eksport senjata Rosoboronexport, Vyacheslav Davidenko menafikan terdapat kargo yang dimiliki agensi itu seperti didakwa Erdogan.
Pesawat Syrian Air yang berlepas dari Moscow ke Damsyik itu dipaksa mendarat di lapangan terbang Esenboga di Ankara oleh tentera udara Turki dan kemudian dibenarkan berlepas semula ke destinasinya.
Bagaimanapun, Turki merampas kargo berkenaan.
Erdogan mendakwa pesawat itu membawa peralatan dan peluru untuk Kementerian Pertahanan Syria dan dipercayai disediakan oleh Rosoboronexport. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121013/lu_02/Hanya-bawa-alat-ganti-radar#ixzz29LcpXGFq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment